Skip to main content

RUMAH DASSANDRA ADRIANA

 

Alhamdullllah.  Hari ini Darissa mampu tersenyum melihat kejayaan yang diraihnya.  Bukan mudah bagi dirinya untuk bangkit dari kekecewaan lalu.  Tamat pengajian suatu ketika dahulu, dia mula menapak sedikit demi sedikit.  Membantu sedikit demi sedikit rakan-rakan yang ada.  Mula bekerjasama dengan beberapa jenama.  Namun memang bukan mudah berada di kedudukan yang selesa seperti sekarang.  Kegagalan rumahtangganya sedikit sebanyak mengganggu emosi dan perjalanan hidupnya.  Darissa bangkit demi kehidupannya yang sememangnya dari dahulu lagi keseorangan.  Sejak kematian kedua orang tuanya, dia membesar di sebuah rumah besar yang didiami bersama beberapa rakan yang senasib dengannya. 

Tapi…tulah….setelah sekian lama, kenapa mereka sibuk-sibuk cari.  Dah 5 tahun rasanya hubungan mereka dah terputus selepas talak padanya dijatuhkan.  Bukan seorang dua yang menjadi saksi.  Di hari kenduri 40 hari bapa mertuanya, hari itulah suami….bekas suaminya melafazakan cerai.  Biarpun masa itu dia sedang mengandung 6 bulan.  Dan kali terakhir mereka bertemu adalah sewaktu mereka hadir ke mahkamah untuk mengesahkan penceraian mereka.  Dan bapa kepada anaknya itu langsung tak bertanyakan tentang anaknya.

Ariana perasan sikap Darissa sejak akhir-akhir ini.  Dia dapat rasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran bossnya ini.  Mungkin mereka kenal baru dua atau tiga tahun sahaja.  Tapi, hubungan mereka sangat rapat.  Dia pernah dengar cerita tentang kegagalan rumahtangga Darissa.  Namun, itu tidak pernah mematahkan semangat wanita cekal itu meneruskan hidup sekaligus mengukuhkan keadaannya sebagai pemilik Dyzo House.  Tahun ini sahaja dia dapat membuka 5 cawangan sekaligus. Dyzo House adalah sebuah rangkaian perniagaan kedai makan yang menghidangkan pelbagai jenis makanan yang berkonsepkan makanan barat dan makanan melayu.  Perkhidmatan penghantaran percuma turut disediakan.

Selepas berpisah dengan suaminya, Darissa meneruskan hidupnya jauh  dari kehidupaan sebelumnya. Dia meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat yang sangat terkenal.  Berbekalkan semangat yang kental, jiwa yang berani Darissa mempertaruhkan wang simpanan yang ada untuk membuka sebuah kedai makan tak jauh dari tempat kerja baru.  Di Kuala Lumpur. Di situ jugalah ramai kawan-kawan dari Rumah Senandung Rindu bekerja untuknya.  Alhamdulillah, kejayaan itu rahsia Allah, dan dia akhirnya berani meletakkan jawatannya di Jasa Bakti Holdings setelah dua tahun.

Tiga tahun lepas, dengan beraninya juga Darissa menubuhkan Dyzo House.  Dan Darissa memilih untuk bertapak di Johor Bahru.  Dia meninggalkan Kuala Lumpur dan mulakan Dyzo House di sini.  Ingin melupakan segala keperitan hidup yang pernah dilalui.  Menghapuskan segala kenangan pahit sepanjang menjadi isteri kepada Danial Hakim.  Melupakan kenangan cinta yang tak kesampaian bersama Darius Haikal.

“Kenapa boss nampak lain je beberapa hari ni?  Boss ada masalah ke?”  Akhirnya berani juga Ariana bersuara bertanyakan hal ini.

Nampak ketara sangat ke?  Darissa tahu Ariana memang macam tu.  Sangat prihatin dengan keadaannya.

“Kepoh yer awak ni..”

“Bukan kepohlah….”

“Prihatin…” sambung Darissa.  Ariana ketawa.

“Betullah boss.  Boss nampak lain.  Since lawyer dari Kuantan tu datang.”

“Dia tu lawyer family ex husband saya.”

“Dia nak apa?  Apa yang dia buat sampai boss kesayangan saya ni jadi tak keruan sejak akhir-akhir ni?”  Tanya Ariana bertubi.

“Takde apa.  Dia suruh saya ke Kuantan. Katanya ada amanat dari bapa mertua saya.  Pelik kan? Bapa mertua saya tu dah meninggal 5 tahun. Dan saya pun dah bercerai 5 tahun.  Maknanya saya ni dah 5 tahun takde kena mengena dengan keluarga tu.  Kenapa dia suruh saya ke Kuantan untuk dengar pembacaan wasiat.  Saya tak faham.”  Terluah juga apa yang terbuku di hati.

“Pergi jelah boss.  Mana tahu dapat harta juta-juta ke?”  Seloroh Ariana.  Darissa mencebik.

“Kalau betullah ada hak saya, saya pun tak ingin.  Saya taknak lah harta dari keluarga tu.”

“Marah sangat ni boss.  Ceritalah dengan saya.” Ariana sibuk nak tahu.

Sejak kecil lagi Darissa dibesarkan di rumah anak yatim semenjak ibu dan ayahnya meninggal dalam satu kemalangan.  Kemalangan itu juga turut meragut nyawa datuk dan neneknya.  Hanya dia seorang yang terselamat dalam kemalangan itu.  Masa itu dia baru berusia 5 tahun.  Sewaktu dia berusia 7 tahun dia dipindahkan ke Rumah Senandung Rindu di Kuantan.  Setiap 2 minggu akan ada kunjungan dari seorang usahawan.  Dikhabarkan dia adalah pemilik tempat tersebut.  Tuan Haris akan datang bersama anaknya, Darius Haikal. Dari kecil mereka berkawan.  Sewaktu dia sambung belajar pun, tuan Haris juga yang tampung perbelanjaannya. 

“Habis sahaja belajar, saya terus dapat kerja.  Tak sampai setahun kerja, Darius dah sibuk ajak saya kahwin.  Masa tu saya baru 22 atau 23 tahun.  Kalau ikut hati saya, saya dah berjaya macam hari ni, barulah fikir nak kahwin.  Tapi, cinta punya pasal saya turutkan sahaja.  Kebetulan, esoknya tu, lepas dia cakap nak kahwin tu, bapa dia nak jumpa saya.”  Darissa terdiam seketika.  Airmata seakan mahu turun.  Sudah-sudahlah tu.  Kau dah puas menangis kan.

Tuan Haris menyatakan hasrat hatinya yang ingin menjadikan Darissa sebagai menantunya.  Hati memang dah berbunga ceria.  Pasti Darius dah menyatakan hasrat mereka untuk membina mahligai bahagia.  Yalah, sepanjang mereka bercinta, mereka memang merahsiakan hubungan mereka dari tuan Hariss.  Menunggu masa yang sesuai untuk menyatakan hasrat hati masing-masing.

“Jadi, macam mana pula boss akhirnya jadi isteri Danial pula.  Apa jadi dengan encik Darius tu?”  Celah Ariana.

“Tuan Hariss memang bercakap pasal Danial pun, bukan Darius.”  Bicara Darissa perlahan.

Danial, suami yang diharapkan dapat membahagiakan, namun penderitaan yang dihadiahkan.  Hanya berpura bahagia di hadapan keluarga dan tuan Hariss terutamanya. Dilayan sebagai isteri hanya di bilik tidur dan di hadapan keluarga.  Setiap hari menitis airmata mengenangkan nasib hidup yang seakan teraniaya.  Menerima permintaan tuan Hariss kerana terlalu banyak berjasa, dan Darius sendiri tak mahu mempertahankan cinta mereka.  Meminta Darissa memenuhi kehendak ayahnya.

Kunjungan tuan Hazran, peguam tuan Hariss benar-benar mengganggu fikiran.  Tahu pula dia aku kat mana.  Sanggup pula dia sendiri yang datang jumpa aku.  Minta aku datang ke Kuantan untuk mendengar bacaan wasiat dan amanat tu.  Nak baca, bacalah.  Apa kaitannya dengan aku?

“Saya akan ke Cameron Highland minggu depan. Mungkin dalam seminggu.  Nak cari ketenangan.”

“Alah, boss taknak ajak saya ke?”  Keluh Ariana.

“Hmmm, malaslah saya.  Nanti hari-hari dengar awak membebel macam nenek-nenek kat telinga saya.”  Balas Darissa.  Ariana mencebik.

“Saya ada family gathering lah. Dengan kawan-kawan saya. Nanti awak jugak yang bosan.  Kawan-kawan saya tu lebih kepoh dari awak tau.”

“Hmm, yelah.  Kalau saya ikut nanti takde orang pulak nak jaga Dyzo House ni.”  Ariana memujuk hati yang tak dapat nak ikut.  Darissa ketawa.  Memang terhibur dengan minah seorang ni.  Dialah pembantu, dialah teman rapat, dialah adik kesayangan yang sentiasa menghiburkan.

* * *

Darissa merancang pertemuan dengan rakan-rakannya yang sama-sama membesar di Rumah Senandung Rindu suatu ketika dahulu.  Merancang sebuah penempatan baru untuk hampir 30 orang kanak-kanak di situ.  Keluarga tuan Hariss merancang menjadikan tempat itu sebagai Homestay.  Lagipun tanah tapak rumah tersebut adalah pusaka turun temurun dari nenek moyang mereka terlebih dahulu.  Itu yang pernah diceritakan kepadanya oleh tuan Hariss.  Hakikatnya, sebelum Rumah Senandung Rindu itu diwujudkan tempat tinggalnya itu memang sebuah tempat penginapan.  Tuan Hariss yang jadikan tempat itu sebagai tempat perlindungan anak-anak yatim.

“Seronoklah boss pergi bersuka ria tak ajak saya.”

“Mestilah seronok.  Tak berdesing telinga dengar awak membebel setiap hari.”  Balas Darissa berseloroh.

“Boss, masa boss takde hari tu ada orang cari tau.”
“Siapa? Tuan Hazran lagi ke?”
“Bukan.  Kalau tuan Hazran tu saya tau. Suami isteri. Ada anak dia dua orang, dah besar jugalah anak-anak dia tu.”
“Orang minta derma ke?”
“Ish, boss ni.  Kalau orang minta derma mestilah dia beritahu tujuan dia tu.”
“Yelah, saya bergurau je.  Sejak bila tak pandai bergurau ni?”
“Alah, boss ni.  Sejak bila pulak pandai usik-usik macam ni?”  Balas Ariana.
“Sudahlah Ariana.  Melayan awak ni, tak jadi kerja saya.  Sebulan dua ni saya mungkin akan sangat sibuk.  Mungkin juga saya takde kat sini. Jadi saya nak awak jadi boss sepanjang saya takde.  Walaupun awak memang selalu jadi boss biarpun saya ada.”
“Heee…”  Ariana tersengih.
“Jangan nak sengih lebih sangat.  Saya cakap betul ni.”
“Boss nak ke mana?”
“Not sure.  Mungkin ke luar Johor.”
“Boss nak pergi jumpa family lagi satu ke?”
“Family apa pula awak ni.”  Faham sangat dengan perangai Ariana yang suka membuat tafsiran bukan-bukan. Ni tak lain dia ingat aku nak buat preparation majlis kahwin.  Bukan boleh percaya sangat dia ni.  Hehe….

“Tulah boss, suruh kahwin jek dengan ayah saya taknak.  Duda anak 5 tu.”  Seloroh Ariana.
“Anak dia yang sorang ni jek dah pening layan.  Apalagi 5 orang.”
“Yang perangai macam ni saya sorang jek.”  Balas Ariana sambil ketawa.
“Hmm, takperlah.  Terima kasih ye atas tawaran awak tu.  Taknak ada anak tiri macam awak ni.”
“Bukan tawaran lah boss.  Lamaran.”
“Ish, dia ni! Ada-ada jek.  Dahlah pergi buat kerja sana.  Esok ikut saya ke Melaka, kita buat lawatan.  Sibuk sangat nak makan angin kan.”
“Serius ke boss?  Nak saya ajak satu family ke?”
“Ni nampak?” Darissa menunjuk penumbuk. Ariana ketawa.
“Sorry boss.  Ganggu.”  Salah seorang staff datang ke biliknya yang sememangnya tidak berpintu.
“Ada guest kita kat bawah nak jumpa boss.”
“Kenapa?  Ada masalah apa-apa ke pasal food kita?”  Ariana sibuk nak tahu.
“Bukan. Dia yang datang hari tulah.”  Jawab staff tersebut.
“Oooh, family yang nak meminang boss tu.”
“Hei, mulut ni.”  Laju tangan Darissa nak mencubit.  Ariana segera mengelak.
“Pergi cari fail cawangan kita di Melaka tu.  Saya naik semula, fail dah atas meja.  Kalau tak awak saya goreng malam ni.”  Arah Darissa tegas.  Dalam tegasnya itu ada gurauan.
“Mereka ada di bilik Exlusive 1 boss.”

Siapa pula yang nak jumpa sangat dengan aku ni.  Nak kata tuan Hazran, takkan datang sampai satu keluarga.  Tak faham ke aku cakap aku taknak pergi Kuantan tu.  Dah 5 tahun aku tinggalkan tempat itu.  Biarpun di situlah aku membesar, namun ada kenangan pahit yang aku ingin tinggalkan di situ.

Darissa terkaku sewaktu Daneilla memeluknya.  Selepas 5 tahun, kenapa mereka tiba-tiba muncul di depan mata.  Tuan Hazran ke yang hantar mereka ni?

“Kak Long tahu, Darissa kecewa dengan adik bongsu kak Long tu.  Kak Long minta maaf ye.”

“Eh, tak payahlah nak salahkan diri kak Long. Dah memang antara kami jodoh tak panjang.”

“Kak Long memang bersalahpun Darissa.  Sejak arwah papa meninggal, kami 5 beradik ni dah macam terpisah. Masing-masing dengan hal sendiri.  Rumah papa tu pun, harapkan pekerja yang jaga.”

“Danial tak tinggal situ ke?”

“Lepas dia kahwin baru, dia dah tak tinggal situ.  Kak Long sendiri pun susah sangat nak jumpa dia.  Lagipun lepas dia buat pengumuman nak cerai tu, kak Long memang langsung taknak bercakap dengan dia.  Geram sangat dengan dia tu.  Kak Long minta maaf Darissa.”  Daneilla tunduk kesal. Kesal dengan sikap adik bongsunya itu.

“Kak Long balik dari Spain ni, akak terus cari Darissa.  Angah cakap anak Darissa yang baru lahir tu meninggal.  Angah cakap Darissa dah pindah, tapi tak tau ke mana.  Angah pun ada beritahu Kak Long, selepas urusan mahkamah, dia terus tak jumpa Darissa. Kak Long minta maaf Darissa. Kak Long tak tahu mana nak cari.”  Airmatanya mengalir.

“Macam mana akak tahu saya ada kat sini?”

“Uncle Hazran yang bagitau.”  Jawab Daneilla.

“Kak Long stay mana kat Johor Bahru ni?”  Darissa beralih tajuk.

“Rumah Darius.”

“Darius?”  Darissa terkejut. Dia tak pernah tahu pun lelaki itu ada di JB.  Atau sebenarnya taknak ambil tahu langsung.

“Dia tu kat mana-mana ada je rumah dia.  Merata-rata dia tinggal Darissa.  Ke sana ke sini dia kerja.  Kahwin tak juga.”  Cerita Daneilla tentang adik ketiganya.

“So, lama ke kak Long balik kali ni?”  Darissa beralih topik lagi.  Malas nak bercerita tentang Darius Haikal lagi.

“I’m back for good.  Kontrak kerja abang Long kat sana pun dah habis.  Buat masa sekarang ni, abang Long nak berehat dulu dalam sebulan dua.  Lepas tu baru dia nak start business dia.”  Cerita Daneilla tentang kehidupannya sekeluarga pula.

Panjang mereka bercerita.  Lebih kepada kehidupan masing-masing. Dah lebih 15 tahun Daneilla mengikut suaminya tinggal di Spain.  Memang tak banyak yang dia tahu tentang Darissa.  Hal adik beradik sendiri pun kadang-kadang dia tidak tahu.  Daneilla kesal juga.  Dia gagal menjaga hubungan adik beradiknya selepas ketiadaan kedua orang tuanya.  Lepas tuan Hariss meninggal dunia, masing-masing bawa hal sendiri.  Berhubung pun sekali sekala.  Dia balik kali ini, dia nak perbetulkan semua.  Dia tidak pernah fikir tentang harta pusaka atau sebagainya.

“Ayah Long tu yang beriya sangat nak ambil rumah dan tanah tu.  Selama ni kami adik beradik tak pernah ambil tahu pun pasal Rumah Senandung Rindu tu.  Arwah papa pun dah amanahkan pada Haji Deraman dan keluarganya uruskan rumah tu.”

“Saya dan kawan-kawan dah bincang hal ini kak Long.  Anak haji Deraman tu pun kawan rapat saya.  Sekarang ni pun dia tengah usahakan tempat baru untuk budak-budak tu.  Ayah Long pun dah setuju beri kami masa.  Tapi, tulah 3 bulan sahaja.”

“Sebenarnya Darissa berhak halang ayah Long tu.”

“Saya ni cuma bekas penghuni Rumah Senandung Rindu tu je.”  Balas Darissa.

“Mesti Darissa pun tak tahu kan?”

“Tahu apa?”  Darissa tak faham.

“Darissa tahu siapa pemilik Rumah Senandung Rindu tu?  Tapak tanah tu.”

“Danial lah kan? Dia kan anak bongsu.  Tuan Hariss pernah cakap yang tapak tanah Rumah Senandung Rindu tu warisan keluarga.  Mesti diwariskan kepada anak bongsu.”  Jawab Darissa yakin.

“Sebenarnya selain dari anak bongsu, tapak tanah itu juga boleh diwariskan kepada menantu bongsu atau sesiapa sahaja yang pewaris terkini pilih.”

“Maksudnya?”  Darissa semakin tak faham.

“Rumah Senandung Rindu dan tapak tanahnya tu telah diwariskan atas nama Darissa.”

“Saya?  Kenapa saya?  Saya kan dah tak de kena mengena dengan keluarga tuan Hariss. Saya dengan Danial pun dah lama bercerai.  Dan setahu saya Danial pun dah kahwin lain kan.  Kalau atas nama menantu bongsu, rasanya isteri Danial yang lebih layak kan?”

“Sebab tu kak Long cakap.  Kami adik beradik tak pernah ambil tahu pun pasal harta ayah.  Apa yang kami dapat, kami tak pernah pertikaikan pun.  Bila ayah Long sibuk nak jadikan tempat tu sebagai rumah penginapan, baru kami tahu pasal ni.”

“Maksud kak Long?”  Darissa semakin bingung.

“Arwah papa wariskan atas nama Darissa.  Bukan itu sahaja, rumah papa yang kat Kuantan tu pun atas nama Darissa juga.

Darissa semakin tak faham.  Kenapa pula tuan Hariss buat macam tu. Nampaknya memang ke Kuantan juga jumpa tuan Hazran, peguam tu.  Patutlah dia beriya-iya sangat suruh aku turun Kuantan.  Kenapa dia pilih aku?  Ramai lagi kot penghuni-penghuni lain.  Haji Deraman tu, dah bertahun-tahun uruskan Rumah Senandung Rindu tu.  Kenapa tak wariskan pada dia sahaja.  Ish, bingunglah aku.

“Mungkin sebab kau pernah jadi menantu dia?” Tafsir Dareen, anak haji Deraman yang juga sahabat baiknya sedari kecil lagi.

“Kalau sebab menantu, aku kan dah lama bercerai.  Isteri Danial yang layak, bukan aku.”  Bidas Darissa.

“Masa tuan Hariss meninggal, kau belum bercerai lagi.” 

“Peninglah.”

“Apa nak pening? Sekurang-kurangnya dapatlah kita pertahankan Rumah Senandung Rindu tu.”  Balas Dareen.

“Kalau ikutkan hati aku memang nak buat macam tu.  Tapi memikirkan cerita kak Long tu.  Aku taknaklah hak tu.”

“Sebab?”  Dareen inginkan jawapan.

“Sekarang ni, ayah Long nak tuntut hak. Dia cakap itu harta keturunan keluarga.  Aku ni orang luar.  Aku tak berhak.   Sebab tu tuan Hazran panggil lagi sekali semua ahli keluarga termasuk adik beradik tuan Hariss untuk dengar semula pembacaan wasiat tuan Hariss tu.  Dan atas sebab itu jugalah tuan Hazran tu tak sudah-sudah paksa aku turun Kuantan.”

“Kau pergi jelah.  Kau pun dah lama sangat tak balik Kuantan.” Saran Dareen.

“Aku akan serahkan balik harta keluarga diorang tu.  Cuma akan minta tempoh masa yang lebih lama berbanding 3 bulan yang dia bagi tu.”

Selepas beberapa minit berbincang dengan Dareen melalui video call, Darissa kembali termenung.  Ariana yang memang suka ambil tahu tu, sibuk datang ke bilik Darissa.

“Hah, nak apa?  Sibuk nak tahu lah tu saya cakap dengan siapa tadi kan?”  Teka Darissa.

“Macam serius sahaja tadi boss.” Bicara Ariana sambil tersengeh.

“Sibuk je kan.”

“Ni fail business boss yang kat Melaka tu.  Ini pulak bekalan asam pedas ayam. Saya dah sahut cabaran boss masak asam pedas.”  Ariana meletakkan beg kertas berisi bekal di atas meja dan menghulurkan fail kepada Darissa.  Darissa tersenyum.  Patutlah dia sayang sangat kat Ariana ni.

“Ye ke awak masak?  Ntah-ntah ambil kat bawah je.”

“Eh, betul saya masak.  Ayah saya pun sampai gosok-gosok mata pelik tengok saya turun dapur masak tau.  Pagi-pagi pulak tu.”  Cerita Ariana.  Darissa tergelak.  Hai, sekurang-kurangnya terhibur hati layan karenah Ariana ni.  Hilang sekejap kebuntuan yang mengganggu rutin hidupnya baru-baru ni.

“Sebab tulah kena rajin-rajin masuk dapur cik Ariana ooi..Awak tu pun dah tunggu masa je nak jadi bini orang tau.  Nanti takdelah terperanjat kena masak hari-hari.”

“Buat apa nak masak boss.  Request sahaja lah kat tukang masak kat bawah tu.  Pastu tapaw bawak balik.”  Balas Ariana ketawa. Darissa menggeleng kepala. Ada sahaja akal dia nak menjawab.

“Boss okey tak sebenarnya ni.  Bilik boss ni dahlah takde pintu.  Cermin pun transparent. Saya boleh nampak tau muka boss.  Boss nampak macam serabut jek dua tiga menjak ni.  Lagilah lepas bekas kakak ipar boss tu datang.  Lagi serabut saya tengok.”  Tanya Ariana serius.  Prihatin tau, bukan kepoh.

“Saya okeylah.  Hal keluarga.  Maksud saya bekas keluarga.”

“Tak baik tau boss putuskan sillaturrahim.  Kalau boss masih panggil dia kak Long, maknanya boss masih anggap dia tu keluarga.” 

“Yelah, hal keluarga.”  Darissa mengalah.  Nanti panjang lagi tazkirah dari cik Ariana ni.

“Dah, jom pergi bank.  Daripada awak tengok saja saya buat apa dari tadi.”  Darissa mengajak PA kesayangannya itu pergi.  Nanti duduk sembang lama-lama lagi banyak benda yang nak ditanya.

Ariana sudah menunggu dalam kereta. Siapa pula mamat yang datang tadi tu. Boss nampak stress sangat. Perbincangan dia dan lelaki tadi nampak tegang.  Dia nak tunggu tadi boss dah halau dia masuk kereta.  Darissa terus masuk kereta.  Nampak sangat yang lelaki itu belum habis berbicara.

“Dah 5 tahun baru nak tanya kubur anak.”  Keluh Darissa geram.

“Ex husband ke?”  Ariana dapat mentafsir.

“Awak turun.” Arah Darissa tegas.

“Hah!”

“Turun.  Saya drive.”

Ariana tak tahu ke mana Darissa nak bawa dia pergi.  Yang pasti bukan laluan ke bank.  Pasti rancangan nak ke bank dibatalkan.  Ariana tak berbicara apa.  Dia ikutkan sahaja kemahuan Darissa.  Kereta berhenti di sebuah tempat agak jauh dari Bandar.

Darissa menjerit sekuat hati. Seketika kemudian dia menangis semahu-mahunya.  Ariana bukan tak pernah nampak Darissa tertekan.  Tapi, inilah kali pertama dia melihat bossnyer ini menangis.  Dia menggosok-gosok belakang Darissa tanda memujuk.  Dia tahu, Darissa ajak dia ikut sekali kerana dia perlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya.  Ariana menanti dengan tenang.  Dia tahu Darissa perlukan sedikit masa.

“Masa saya nak bersalin, dia langsung tak jengah.  Masa saya hadapi kematian anak saya, dia mana?  Saya menangis dan hampir gila, dia takde.  Lepas saya dah move on, dah mampu terima hakikat hidup saya, baru hari ni dia muncul.  Baru hari ni nak tanya saya pasal kubur anak.  Mana dia selama ni?  Kenapa selepas 5 tahun?”  Darissa menangis lagi.

“Dia salahkan saya.  Dia cakap, masa saya nak bersalin saya tak beritahu dia.  Kalau betullah dia seorang lelaki dan suami yang baik, dia takkan pernah tinggalkan saya.”  Sambung Darissa.  Menangis lagi.  Ariana terus memeluk Darissa.  Dia tahu, itu yang Darissa harapkan sekarang.  Dia terus memujuk Darissa seperti seorang ibu memujuk anak kecil yang menangis.

Perkara pertama yang Darissa lakukan sebaik tiba di Bandar Kuantan ialah menziarahi kubur anaknya.  Hanya inilah sebab untuk dia menjejak kaki ke Bandar ini, selain menziarah Rumah Senandung Rindu.  Itupun hanya setahun sekali.  Tak sampai sehari pun.  Dia langsung tak mahu beri peluang pada dirinya terserempak dengan sesiapapun yang mengenali dirinya.

Selesai membacakan Al Fatihah dan Surah Yasiin, Darissa melangkah keluar dari tanah perkuburan itu.  Langkah lesu itu dibawa ke tempat letak kereta.  Darissa terdiam seketika. Kenapa pula dia ada di sini?  Entah mengapakah, hatiku bergetar.  Bila bertemu lagi kekasih lama.  Aaah, ini lagi seorang keturunan keluarga itu yang telah menghancurkan hati aku.

“Kalau tuan Hariss nak saya jadi menantu, apa bezanya kalau saya kahwin dengan awak?”

“Ada bezanya Darissa.  Awak tahu kan yang saya ni Cuma anak tiri.  Masa ibu saya kahwin dengan papa, ibu saya ibu tunggal anak tiga.”

“So, awak memang taknak langsung beritahu papa awak pasal kita?”

“Maafkan saya.  Saya tak mampu nak tolak kehendak papa. Please Darissa.”

“Terima kasihlah atas tipu helah awak selama ni.  Awak perangkap saya dalam cinta awak, lepas tu awak lepaskan saya macam tu je.”

“Darissa saya tak pernah tipu bila saya katakan saya cinta.  Tapi, sekarang ni saya tak mampu nak halang kehendak papa.  Saya tak nak dia kecewa.”

Darissa tidak berbicara apa-apa.  Dia terus menuju ke keretanya. Darius Haikal tidak berlengah, dia mendahului langkah Darissa.  Menghalang Darissa naik keretanya.  Darissa mendengus marah.

“Awak nak apa?  Awak pun sama macam adik awak.  Nak suruh saya serahkan balik hak keluarga awak tu.  Tak payah risau, saya memang akan serahkan balik harta keluarga yang saya dah benci.”  Marah Darissa.

“Bukan itu maksud saya jumpa awak ni.”  Nafi Darius Haikal.

“Sudahlah.  Berhentilah ganggu hidup saya.  Dengan ayah Long awak yang sibuk call saya hari-hari ingatkan tarikh esok.  Eh, saya penatlah.”  Dengus Darissa geram.

“Awak tak perlu serahkan hak awak tu pada ayah Long.  Itu memang hak awak.”

“Hak apa?  Saya dengan Danial dah lama bercerai.  Saya dah takde apa-apa hubungan dengan keluarga awak.  Pleaselah, stop harassing me.  I had enough.”

“Tapi, awak dan Danial ada anak kan?  Itu menguatkan hak awak.”

“Anak saya dah meninggal dunia.  Kubur dia ada kat dalam ni.”  Balas Darissa sambil menunjukkan ke arah tanah perkuburan.

“Dah, jangan ganggu saya lagi.”  Darissa menekan butang ‘unlock’.

“Danisha memang dah meninggal dunia, tapi Danish masih hidup kan? Kembar dia.”

Terbeliak mata Darissa kerana terkejut.  Macam mana Darius tahu.

“Saya tak pernah larikan pandangan saya pada awak Darissa. Manapun awak pergi, saya akan ikut.  Saya menyesal biarkan awak kahwin dengan Danial. Saya tahu awak menderita.  Saya tak berani dekati awak, sebab saya takut awak masih marahkan saya.  Saya yang beritahu Dareen pasal awak kat hospital 5 tahun lepas.  Saya tahu yang awak taknak beritahu kawan-kawan awak sebab awak tak nak susahkan mereka.  Tapi, saya tak sanggup tengok awak tersiksa sorang-sorang.  Maafkan saya Darissa.”  Darius tunduk kesal.

“Kalau lah awak kuat pertahankan cinta kita dulu, semua ni takkan berlaku.  Itu je yang saya harapkan dari awak dulu.”  Balas Darissa lalu terus masuk ke dalam perut kereta.  Keretanya terus meluncur pergi. Takde apa lagi yang mampu Darius Haikal lakukan.

Airmata mengalir. Ish, kenapa murah sangat airmataku ini. Terlalu murah untuk dua lelaki yang telah mengecewakan aku.  Kekasih hati yang lemah mempertahankan cinta, suami yang gagal mencari silap sendiri.

“Awak sendiri pun tak pernah cintakan saya kan?  Saya tahu, awak sendiri ada kekasih hati.”

“Sekurang-kurangnya saya tak pernah curang.  Awak ingat saya tak tahu, yang awak masih berhubungan dengan isteri awak tu, semasa saya masih  lagi isteri awak.”  Balas Darissa geram.

“Kalau buat tu semua nak buktikan pada papa awak tak bahagia, untuk apa awak berpura-pura gembira dengan perkahwinan kita.  Awak siksa hidup saya, sebab nak saya yang tuntut cerai.  Nak buat saya ni yang nampak jahat.”

“Bukan macam tu….”

“Sudahlah Danial.  Awak dah ada life awak sekarang kan? Dah.  Tak payah nak ganggu hidup saya.  Awak nak saya pulangkan harta family awak kan?  Saya akan buat.  Saya pun tak inginlah harta keluarga awak tu.  Memang saya tak pernah cintakan awak, tapi saya pernah sayang awak.  Ternyata, kasih sayang saya tu tak cukup untuk membahagiakan awak Danial.  Saya pun tak tahu kenapa awak perlu setuju kahwin dengan saya, sedangkan awak dah ada kekasih.  Mungkin kerana takut tak dapat harta kot.  Tapi sayangkan, jatuh juga harta tu kat tangan saya.  Kalau ikut hati, memang saya akan simpan harta tu.  Saya masih ada perasaan malu Danial. Saya tahu, saya takde hak.”

Airmata masih mengalir. Darissa memberhentikan keretanya di hadapan Rumah Senandung Rindu. Dia segera menyeka airmatanya.  Taknak adik-adik kat situ tanya kenapa bengkak mata, dia memakai cermin mata gelap.  Dareen yang dah nampak kereta sahabatnya itu, tak sabar keluar.  Siap membebelkan kawannya itu kenapa parking kat luar.  Dah tahu dah, mesti dia akan dipaksa bermalam di sini.  Memang itupun yang akan dilakukan. 

Darissa memandang keliling Rumah Senandung Rindu itu.  Memang banyak perubahan, pembaikan, pembaharuan yang Haji Deraman lakukan. Sekarang, Dareen pula yang uruskan tempat ini.  Sayangnya.  Tempat ini memang dah jadi hak aku, namun aku tak berhak.  Apalah yang ayah Long fikirkan. Selama berpuluh tahun ni, tak pernah sesiapa pun dari keluarga tu yang sibukkan tempat ini.  Kenapa sekarang?

Tuan Hairul sudah bersiap sedia.  Temujanji dengan tuan Hazran pukul 11:00 pagi nanti.  Tuan Hairul duduk di meja makan.  Bersedia untuk bersarapan dengan isteri tersayang.

“Segak nampak.  Nak jumpa lawyer ke, nak jumpa makwe.”  Usik puan Dahlia.

“Makwe dah ada depan mata.”  Balas tuan Hairul.

“Sebenarnya saya hairanlah.”

“Hairan kenapa?”  Tuan Hairul tak faham.

“Dah berpuluh tahun adik abang wakafkan tanah dan rumah tu untuk anak-anak yatim tu.  Kenapa tiba-tiba abang nak ambil yer?” Akhirnya terluah juga persoalan yang bermain di fikirannya selama ini.  Tuan Hairul terdiam.  Dia berhenti mengunyah.

“Abang tak rasa bersalah ke?  Mana anak-anak yatim tu nak pergi?”

“Abang…”

“Sebab tu, kita kena ajar anak-anak kita dari sekarang.  Jaga hubungan adik beradik, andai ditakdirkan kita ni dah takde.  Abang tak pernah nak tahu pun hal adik beradik abang.  Abang sendiri terkejutkan pasal tanah dan rumah tu atas nama orang lain.”

“Sebab tu abang nak ambil balik hak keluarga abang tu.” Celah tuan Hairul.

“Tapi kenapa sekarang?  Apa yang kita ada sekarang ni cukup untuk kita.  Biarlah anak-anak yatim tu.  Kalau betul pun abang nak ambil tempat tu, gantikan tempat lain untuk mereka.  Bukan bekas penghuni kat situ yang kena pertahankan.  Sambung kebaikan adik abang tu.  Biar pahala dia berpanjangan.”  Balas puan Dahlia.

“Abang nak ambil balik hak keluarga abang.”

“Sebelum kita tahu rumah dan tanah tu atas nama Darissa lagi abang dah nak sibuk ambil tempat tu.”  Bangkit puan Dahlia.  Tuan Hairul terdiam.

“Saya harap sangat abang lupakan hasrat abang tu.  Jangan ganggu mereka.  Selama ini pun kita tak pernah ambil tahu hal mereka.  Saya harap pertemuan dengan adik beradik dan anak-anak saudara abang nanti berkesudahan dengan baik.  Kerana harta, baru nak bersua-muka, jangan kerana harta kita sampai putus saudara.  Ingat tu.”

 

Berat rasa hati nak melangkah masuk ke pejabat tuan Hazran ini.  Tuan Hazran ini pun sebenarnya sepupu tuan Hariss.  Darissa meminta Dareen menemankan dia datang ke pejabat peguam itu hari ini.  Dia tahu, dia juga perlu berdepan dengan Daneilla Hazreen, Darwish Haqil, Darius Haikal, Danial Hakim, Darlenda Humaira dan beberapa nama lagi.  Sakit perasaan bila mengingatkan yang dia perlu berdepan dengan dua lelaki yang telah mengecewakan hati ini.  Dua lelaki yang buatkan dia benci dengan perkataan cinta.  Dua lelaki yang membuatkan dia tak mahu fikirkan soal rumahtangga.

“Lama kami cari Darissa.  Angah ada beritahu pasal anak Darissa tu.  Kami langsung tak terfikir Darissa akan ke Johor.  Kami tahu ni pun Uda yang bagitahu tau.”  Luah Darlenda Humaira

“Macam mana dia tahu saya ada di Johor?”

“Entahlah.  Dia tu penuh misteri. Tanya mesti takde jawapan.”  Celah Daneilla.  Dia pun turut teruja melihat kehadiran Darissa.  Dia Cuma harap hubungan mereka tidak akan terputus lagi, biarpun Darissa bukan lagi adik iparnya.

“Memang betul.  Tengok sahajalah sekarang.  Adik beradik lain dah sampai. Dia seorang sahaja yang tak muncul-muncul.” Celah si angah pula, Darwish.

“Darissa jangan risau, kami takkan tuntut apa-apa pun dari Darissa. Selama inipun kami tak pernah ambil tahu pasal rumah dan tanah tu.  Adik beradik papa yang lain tu okey, Cuma ayah Long je yang tiba-tiba bangkitkan hal ini.  Walhal, dah bertahun-tahun Rumah Senandung Rindu tu wujud.”  Pujuk Daneilla.

“Anggap sahajalah pertemuan kita hari ni macam gathering keluarga.  Kalau ayah Long tegas juga dengan kehendak dia tu, kami adik beradik akan bantu Darissa.  Ini amal papa yang perlu dipertahankan.”  Sambung Daneilla.  Adik-adiknya angguk setuju. Danial diam tak bersuara.

“Kau diam je kenapa?  Tak setuju ke?”  Sindir Darleen.

“Eh, setuju je.”  Balas Danial biarpun disiku si isteri.

“Orang lain datang tak bawa isteri pun.”  Sindir Darwish pula.

“Korang ni. Jangan gaduh-gaduh boleh?”  Pesan Daneilla.  Biarpun hakikatnya dia juga tersinggung dengan sikap isteri Danial.  Yelah, semasa Danial masih menjadi suami Darissa pun mereka tetap berhubungan secara sulit. Dan dengan pantas Danial menikahinya sebaik sahaja dia menceraikan Darissa.  Biarpun perkara dah lama, dan Darissa pun tak mahu dibangkitkan lagi hal itu, kesannya masih terasa sampai hari ini.

Daun pintu terkuak.  Tuan Hazran masuk bersama Darius Haikal.  Mata lelaki itu terus memandang ke arahnya.  Dia tersenyum.  Ish, kenapa pula rasa berdebar-debar ni?  Panahan pandangan cinta pertama ke.  Ish, kau kan dah benci dia?  Lupakan. Lupakan.

Tuan Hazran membacakan hak mereka satu persatu.  Yang lain mengangguk perlahan tanda faham.  Darissa hanya mendengar biarpun sedikit tidak selesa apabila mata Darius tak henti memandang ke arahnya.  Sehinggalah namanya disebut sebagai pemilik tanah dan Rumah Senandung Rindu.  Dan juga rumah tuan Hariss.

“Darissa, ada apa-apa yang Darissa nak cakap?”  Tuan Hazran bertanya.  Semua memandang ke arahnya.  Eh, ini sengaja ke apa?  Tiba-tiba tanya soalan macam tu kat aku.

“Macam yang saya pernah cakap sebelum ini.  Saya akan serahkan hak keluarga ini.  Saya akan lantik peguam saya sendiri untuk hal ini.”

“Tak boleh Darissa.”  Darius Haikal tiba-tiba mencelah.  Yang lain memandang Darius pula.

“Kalau awak taknak sekalipun, ianya akan jadi hak Danish.”

“Danish?  Siapa Danish?”  Terdengar suara-suara bertanya.

“Sabar.  Bawa bertenang.  Biar saya jelaskan hal ini.”  Tuan Hazran bersuara menenangkan keadaan.

Suasana kembali tenang.  Tuan Hairul tak bersuara apa-apa sedari tadi.  Mungkin masih menghadam kata-kata isterinya pagi tadi.

“Untuk pengetahuan semua, arwah tuan Hariss tidak pernah memiliki rumah dan tanah tu.  Dia hanya pemegang amanah.  Dari dulu lagi, pemilik asal memang Darissa. Sebab tu saya tak sebut pasal hakmiliknya dalam pembacaan wasiat sebelum ni.”

“Tapi, kenapa?  Dia siapa?”  Tuan Hairul baru bersuara.

“Sebab dia adalah waris tunggal arwah puan Dassandra Adriana binti Tuan Hishammudin.”  Jawab tuan Hazran.  Suasana hingar kembali. Tuan Hairul terdiam.  Hampir sahaja dia rebah mendengar nama itu.  Apatah lagi mengetahui tuan nama itu telah meninggal dunia.

“Sekejap.  Apa kena mengena ibu saya dalam hal ini?”  Celah Darissa.

“Darissa, Dassandra tu adik bongsu kami.”  Puan Dahlia, adik kedua tuan Hairul.

“No way.  You must be kidding me.  I’m out of here.”  Darissa terus bangun dan keluar dari situ.  Terdengar beberapa suara memanggilnya.

Aku anak saudara papa. Kenapa aku tak  perasan langsung mereka berbin dan berbinti nama yang sama?  Kenapa aku dibesarkan di rumah anak yatim?  Mesti sebab mereka tak suka ayah aku dulu kan. Kenapa baru sekarang aku nampak muka makngah tadi ada iras mama?   Dan pasti sekarang ni pun diaorang tak suka aku.  Darissa mencari kelibat Dareen.

“Darissa nanti dulu.”  Suara Darius Haikal.

“Dahlah. Saya penatlah layan drama keluarga awak ni. Dah, nanti saya uruskan penukaran nama tu.”

“Kalau awak nak tukar nama pun, ianya hak Danish.”

“Jangan kaitkan anak saya dalam hal keluarga awaklah.”  Marah Darissa.

“Darissa, please.  Dengar dulu apa saya nak cakap.”  Pinta Darius Haikal.

“Saya takde masa nak dengar.”  Balas Darissa.  Masih marah.

“Saya tahu awak marahkan keluarga kita.  Awak marah, kenapa takde sorang pun adik-beradik ibu awak jaga awak?  Awak kena tahu yang ini adalah permintaan ayah awak sendiri.”

“Oooh …tak cukup ibu saya, sekarang nak kaitkan ayah saya pulak.”  Darissa semakin tak puas hati dengan lelaki di hadapannya ini.  Lelaki yang pernah buat jantungnya berdetak laju.

Ayah dan ibu Darissa kahwin lari kerana hubungan mereka tidak direstui keluarga.  Dassandra hilang dari keluarga.  Tuan Hishammudin memang marah dengan tindakan anak bongsunya itu.  Hinggakan dia pernah mengatakan dia tidak mengiktiraf anak bongsunya itu.  Namun, sebelum meninggal dia berpesan pada tuan Hariss supaya cari adiknya itu.

“Papa tak sempat jumpa ibu awak.  Kemalangan itu berlaku pun, dah beberapa hari barulah PI yang ayah upah dapat tahu. Ayah awak pun dah tenat masa tu.   Papa cuma sempat jumpa ayah awak.  Dan ayah awak yang taknak ………..”

Apapun terjadi, aku taknak dia dibesarkan dalam keluarga tu.  Mereka dah cukup benci aku.  Aku taknak kebencian mereka tu turun kat anak aku.  Tolong Hariss.  Ini permintaan aku. Kalau kau nak beritahu dia pun, tunggu dia dah dewasa.”

Sejak kecil lagi sebenarnya Darius Haikal maklum tentang hal ini.  Dialah satu-satu anaknya yang sering dibawa ke Rumah Senandung Rindu itu.  Tuan Hariss mahu dia rapat dengan Darissa.  Mungkin sebagai abang, namun jauh pula dia terlajak sehingga bercinta.  Silap dia kerana tidak berterus terang sehinggakan tuan Hariss mencadangkan menjodohkan Darissa dengan anak bongsunya Danial Hakim.  Dalam fikiran Darius, mungkin papa sengaja nak menjodohkan mereka kerana nak mengukuhkan alasan kenapa rumah dan tanah atas nama Darissa.

“Saya bersalah Darissa. Saya tak kuat untuk pertahankan cinta kita.  Dalam masa yang sama saya tak dapat lepaskan awak dari hati saya.  Bila saya dapat tahu Danial buat hal, dia masih berhubung dengan kekasih dia waktu itu, saya jadi marah.  Saya hilang sabar………….”  Menangis.  Darissa terdiam.

“Kerana saya papa meninggal.  Kerana saya awak derita Darissa.  Saya jumpa papa dan ceritakan pada dia hal sebenar.  Papa marah.  Dia suruh awak kahwin sebab taknak awak jauh dari keluarga kita sebenarnya.  Dia tak pilih saya sebab dia ingat saya anggap awak adik sahaja.  Papa sendiri siasat pasal Danial tu.  Papa kena heart attack sebab terkejut bila dia sendiri nampak Danial.  Saya rasa bersalah selama ini, sebab saya yang tunjuk kat papa masa tu.”  Darius menangis lagi.  Ish, susah nak tengok lelaki menangis macam ni.  Ada juga beberapa pasang mata yang memandang ke arah mereka.

“Dahlah.  Orang tengok tu.”  Lembut juga hati Darissa nak memujuk.

“Apa yang jadi kat papa bukan salah sesiapa pun.”

“Saya tetap rasa bersalah Darissa.  Bersalah terhadap awak.  Kalaulah saya lebih kuat dan bersungguh-sungguh pertahankan cinta kita dulu, mungkin kesudahannya akan berbeza.”  Luah Darius Haikal.

“Sudahlah.  Saya malas nak fikirkan lagi.  Benda dah lepas pun. Saya dah move on.  Saya ada anak yang perlukan saya.  Kalau betul rumah dan tanah tu hak saya sekalipun, saya tetap akan serahkan pada ayah Long.  Kalau dulu arwah ibu saya dah dibuang keluarga, maknanya saya pun dah dibuang.  So, saya memang takde hak. Tolong jangan paksa saya terima semua ni dengan mudah Darius Haikal.  Perkara ini susah saya nak terima dengan macam tu sahaja.”

Darissa tidak kembali ke pejabat tuan Hazran.  Dia meninggalkan Darius Haikal begitu sahaja.  Sepanjang 28 tahun hidup, baru hari ini dia tahu hal sebenar. Bukan mudah nak menerima hakikat.  Ianya sesuatu yang berat. Terlalu berat untuk ditelan.

“Jadi juga nak balik JB esok?”  Tanya Dareen bila dilihat sahabatnya itu mengemas pakaian.

“Hmmm.”  Jawab Darissa sepatah.

“Kau masih terkejut ke?”  Tanya Dareen lagi.

“Entahlah Dareen.  Bila aku fikir-fikir balik, patutlah arwah papa dulu baik sangat dengan aku.  Sampai nak jadikan aku menantu.”

“Kau kecewa?  Atau rasa tertipu?”  Soal Dareen menguji.

“Takdelah.  Aku sayang papa.  Dua orang je lelaki yang aku percaya selama ni. Arwah ayah, arwah papa.  Lelaki lain yang pernah hadir dalam hidup aku ni, tak boleh pakai.”

“You mean your ex husband?”  Tafsir Dareen.

“Dia tu setia. Setia pada yang satu. Isteri dia tu.  Terlalu serius sampai sanggup abaikan isteri sendiri. Darius pula terlalu takut untuk berterus terang.  Cuma bezanya, Danial ni macam musang.  Banyak tipu helah.”

“Darius pulak?”  Soal Dareen lagi.

“Bukan pencinta yang hebat.”  Balas Darissa. Dareen ketawa.

“Sebenarnya, dia yang beritahu aku kau kat hospital hari tu.  Dan dia juga yang tolong azankan Danish.”  Dareen berterus terang.  Darissa terkejut.

“Lepas operation keluarkan baby tu, kau tak sedar. Ayah aku lambat, dia yang tolong azankan.  Aku minta maaf sebab rahsiakan hal ni.  Darius yang tak bagi aku beritahu kau.  Sebab dia cakap, kau tengah marahkan dia.”  Cerita Dareen.  Darissa terdiam.

“Kau mungkin kecewa dengan apa yang menimpa ibu kau. Kau mungkin kecewa dengan perkahwinan kau.  Kau mungkin kecewa dengan keluarga kau. Tapi kau kena terima hakikat yang mereka tu tetap keluarga kau.  Kau boleh ubah air yang putih jernih tu jadi air sirap, kopi, milo atau fresh orange, tapi kau tak boleh cincang sampai putus.”

“Kau mungkin kecewa dengan Danial, tapi kau tak boleh putuskan silaturrahim Danish dengan keluarga dia. Dengan ayah dia.  Kau mungkin terlalu kecewa dengan Darius Haikal, tapi kau tahu yang kau tak mampu nak lupakan dia kan?”

5 tahun berlalu.

Rumah Senandung Rindu sudah tidak ada di situ.  Dareen masih lagi menguruskan tempat itu.  Namun yang berbeza hanya nama.  Darissa meminta nama ibunya dipahatkan di situ.  Rumah Dassandra Adriana.  Setiap bulan Darissa akan mengunjungi tempat itu.  Dan dalam masa yang sama, dia akan membenarkan Danish bermalam di rumah ayah kandungnya Danial.  Betullah cakap Dareen, marah macam manapun, aku tak berhak menafikan hak Danial sebagai ayah kandung Danish.  Dia Cuma berharap anak-anaknya nanti akan menjaga hubungan yang baik dengan keluarga, adik beradik.  Dia tak mahu kerana harta baru nak bertegur sapa.

“Assalamua’laikum.” Satu suara memberi salam.  Darissa menoleh.  Tersenyum.  Ayah Long memilih untuk tinggal di situ. Nak jauh dari keriuhan suasana Bandar.  Dia seronok di sini.  Dia nak habiskan sisa hidupnya di sini.

“Wa’laikumussalam.  Ayah Long sihat?”  Balas Darissa.  Tuan Hairul angguk.

“Suami tak ikut sekali ke?”

“Dia pergi hantar Danish ke rumah Danial.  Sekejap nanti dia sampailah.”

“Ayah Long gembira tengok kamu bahagia Darissa.  Dulu ayah Long tak sempat nak tengok kebahagiaan adik sendiri.”

“Ayah Long, tak payahlah ungkit hal dulu ye.  Saya yakin, arwah ibu sendiripun nak kita semua lupakan kealpaan kita dulu.”

Apapun yang terjadi sebelum ini, Darissa terima dengan redha.  Air yang dicincang tak mungkin akan putus.  Hari ini Darissa gembira dengan kehadiran adik-beradik arwah ibu dalam hidupnya.  Sekurang-kurangnya dia tidak sendirian.  Dia tahu sekuat mana pun dirinya, sehebat mana pun dia berdiri di atas kaki sendiri, dia masih memerlukan keluarga dalam hidupnya.

“Mama.”  Suara Ariana memanggil. Darissa menoleh.

“Mama to be.”

“Eh, saya dah lama jadi mama lah.”  Balas Darissa.  Ariana ketawa.

“Kali ni lain sikit.  Baby dalam perut ni, adik-adik saya.”  Ariana sibuk mengusap perut Darissa.

“Ewah! Bila declare jadi kakak ni?”  Ayah Ariana pula yang muncul di situ.

“Ayahlah, lambat sangat adjust mama ni.  Kan dah 35 tahun baru pregnant.”

“Hei, tak baik tau cakap isteri saya macam tu.  Susah payah tau saya nak adjust balik ni.  5 tahun tengok dari jauh, 5 tahun mengurat balik hari-hari.  Mujurlah Danish ada sebagai penguat.”  Darius muncul lalu memeluk bahu isterinya.  Ariana ketawa.  Darissa memandang suaminya.

“Nak taknak terima jelah Ariana.  Kesian, tunggu lama sangat.”  Balas Darissa. 

“Alhamdulillah.”  Ucap Darius tanda syukur.  Mereka ketawa.  Syukur padamu ya Allah.  Rumah Dassandra Adriana menyaksikan kebahagiaan Darissa dan Darius hari ini.  Di rumah ini kali pertama mereka bertemu, di rumah ini mereka jatuh cinta, di rumah ini Darius sekali lagi melamar Darissa, dan di rumah inilah mereka akhirnya disatukan.  Rumah Dassandra Adriana akan terus bersinar cahaya kebahagiaan.


TAMAT

 

Comments

Popular posts from this blog

ISTERI BOSS

Balqis masih mengadap komputer riba di atas meja belajarnya. Jarum jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 1 pagi. Nadia yang baru pulang dari kerja ‘part-time’ di 7 eleven agak terkejut. Selalunya jam 11 malam Balqis dah tumbang. Kalau nak bangun study pun dia akan bangun seawal 4 pagi dan seterusnya akan berjaga sehingga masuk waktu subuh. Hmmm…sejak balik dari cuti semester baru-baru ni Balqis nampak berbeza. Suka termenung. “Aku nak tanya ni. Kau jangan marah tau.” Kata Nadia satu hari. “Macam serius je bunyinya.” “Memang serius pun.” Balas Nadia. “Pasal apa?” “Pasal kau.” Jawab Nadia. Balqis berkerut dahi. Kenapa pula dengan aku? Tanya Balqis dalam hati. Jangan-jangan….. “Kau nampak lain.” “Maksud kau? Aku dah gemuk ke? Atau aku dah kurus?” Tanya Balqis berseloroh. Walhalnya dalam hatinya berdebar juga menunggu soalan dari Nadia. Nadia ni bukan saja BFF aku, ada masa dia ni boleh jadi BFF mak aku jugak ni. Sama-sama suka korek rahsia pasal aku. “Muka kau ...

DENDAM SEORANG ISTERI

Apa yang kau dah buat? Kenapa Mia berdendam dengan kau sampai macam tu sekali? Apa yang kau dah buat? Cuba kau ceritakan hal sebenar. Kalau kau diam je macam ni, macam mana aku nak tolong kau. Hakimi meraup muka dengan kedua telapak tangannya. Ketika hati sedang berbunga cinta, kenapa ini yang terjadi? Apa yang lebih membimbangkan, Mia tu tak sihat. Selepas bertengkar semalam, Mia tiba-tiba pengsan. Bila dia sedar, dia marah-marah dan tak mahu ada doktor dalam rumahnya. Hakimi akurkan sahaja. Esok paginya, Mia hilang. “Aku rasa bersalah sangat. Selama ni aku sia-siakan peluang yang aku ada. Kesabaran dia, memang mencabar aku. Dia terlalu baik. Aku nak dia benci aku. Tapi, dalam masa yang sama, aku semakin menyayangi dia. Aku cuba untuk tak pedulikan dia. Tapi, bila dia balik lambat, aku jadi risau. Tak tentu arah. Memang aku tak cakap apa-apa. Bila nampak saja wajahnya menjengul di muka pintu, betapa leganya hati aku bila dia sampai ke rumah dengan selamatnya.” “...

Bagaimana Untukku Jatuh Cinta

 Calon terakhir untuk hari ini.  Mohd Rafiq Harraz. 30 tahun. Masih bujang. Aneesa memandang wajah pada foto bersaiz kecil itu.  Eh, ini senior aku ni!  Abang handsome yang menjadi rebutan masa sekolah dulu.  Aku ada dengar cerita yang mengatakan dia dah jadi jutawan, dah tu apasal minta kerja jadi pengawal peribadi pulak ni? "Alah,rumors je tu. Saya orang biasa jek. Sedang cari kerja. Baru resign sebab company tutup." "Macam ni sahajalah, sebab saya kenal abang, saya akan hired abang. Tapi kerja abang bukan setakat bodyguard jek tau, abang juga adalah driver dan assisstant saya. You have to be with me 24 hours. You kena tinggal dengan I, I mean at my family's house. Saya akan beri cuti sebulan after six months, is it okey with you?" "Okey, saya okey je." "Sorrylah, it's my father's rules. Selagi saya tak kahwin dia nak saya sentiasa dikawal. Nak gerak bebaspun terbatas." "So, sebelum ni ada bodyguard jugalahye?" "Yes, ...