Seperti biasa, seawal 06:30 pagi Fahrin sudah menghidupkan
enjin keretanya. Kemudian, kereta itu meluncur pergi ke beberapa destinasi. Dan
yang pastinya, Restoran Farhana adalah destinasinya yang terakhir. Sambil
bersembang dengan pakcik yang selalu menyambutnya sejak dua tahun lalu itu, dia
membantu menyusun kuih-kuih dan nasi lemak di meja khas di restoran itu. Kalau di tempat lain dia hanya hantar sahaja.
“Assalamua’laikum
abangku!” Jerit satu suara yang memang dah biasa sangat menangkap deria pendengaran
Fahrin. Dia menoleh. Farah Akira tuan punya restoran. Dah hampir 5 tahun Fahrin berurusan dengan
anak gadis ini. Mereka berdua memang
rapat. Mempunyai minat yang sama,
walaupun sama-sama belajar bidang yang berbeza dengan apa yang mereka buat
sekarang ni.
“Okeylah tu
mama. Jual kuih pun business
jugak.” Itu alasan Fahrin apabila
mamanya bertanya kenapa dia tidak mahu memohon pekerjaan yang bersesuaian
dengan bidangnya iaitu Business Administration.
Akira juniornya semasa sama-sama belajar di UiTM Shah Alam. Berkenalan sewaktu sama-sama menghadiri ekspo
makanan anjuran sebuah institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur. Sama-sama masuk pertandingan Chef Ekspress.
“Abang ni,
kan Kira dah pesan, nasi lemak ni banyakkan lagi. Diorang ni suka betul nasi lemak yang mama
abang buat tu tau.”
“Alah,
sorrylah. Mama memang dah limit dia 500
bungkus je sehari.”
“Abanglah
tolong mama abang.”
“Kalau abang
tolong mama buat nasi lemak, siapa nak buat kuih-kuih tu semua.”
“Abang
carilah pembantu.” Saran Akira.
“Tulah,
abang suruh kahwin je dengan abang taknak.
Kan senang, Kira tolong abang buat kuih tiap-tiap hari.” Seloroh Fahrin.
“Perlahan sikit
cakap tu. Tu, doktor kesayangan abang
tu.” Akira bercakap separuh berbisik
sambil muncungnya menunjuk ke arah belakang.
Fahrin tersenyum. Menikmati
permandangan yang indah katanya.
“Apalah
abang ni. Pergilah tegur.”
“Ish,
seganlah abang.”
“Nak segan
apa? Bukan abang belum mandi pun.” Ejek Akira.
“Fahrin, kau
tak bawa Grab ke hari ni?” Ada satu
suara menegur.
“Ish, kau ni
Khairul! Kacaulah.” Marah Akira.
“Selamat
pagi tuan!” Fahrin memberi tabik
hormat. Kemudian ketawa. Inspektor Khairul, jiran Akira yang selalu
singgah di Restoran Farhana itu untuk menikmati sarapan pagi sebelum ke tempat
tugas.
“Jom, minum
dulu.” Ajak Khairul. Fahrin akur.
“Adik,
tolong bungkuskan nasi lemak 3, kuih karipap telur tu RM5.”
“Hari-hari
makan karipap telur ni kak. Mesti sedap
kan.” Usik Akira.
“Memang
sedap pun. RM5 ni akak makan sorang je
tau. Makan dah petang pun rasanya tetap mantap.” Puji Fahrin.
Kembang-kempis hidung Fahrin.
“Jangan puji
lebih-lebih kak. Nanti ada orang kembang
pulak.” Balas Akira sambil matanya
melirik ke arah Fahrin. Doktor Fazurina
menoleh. Fahrin segera beralih
pandangan. Sebaik sahaja Fazurina
berlalu pergi Fahrin menoleh kembali.
Pandangan matanya tak lepas dari memandang ke arah Fazurina yang
sudahpun masuk ke dalam perut keretanya.
“Dah 3 bulan
bro. Bila nak mulakan langkah?” Tegur Khairul. Fahrin hanya tersengih. Dia tu doktor. Aku ni tauke kuih jek. Dia nak pandang ke orang macam aku ni.
Doktor
Fazurina baru sahaja tiga bulan bertugas di hospital tak jauh dari Restoran
Farhana. Dia memang sering ke situ untuk
beli sarapan. Setelah terpikat dengan
keenakan nasi lemak dan kuih-muih di situ, dia sering singgah ke situ bila dia
bertugas shif pagi. Dan akan singgah makan di situ jika dia bertugas shift
malam. Dan sejak itulah Restoran Farhana
menjadi destinasinya yang terakhir untuk menghantar kuih-muih dan nasi lemak
biarpun restoran itu yang paling dekat dengan rumahnya.
“Eh, Fahrin!
Lama kau tenung.” Usik Khairul.
“Eh, aku dah
lama nak tanya kau ni!”
“Tanya apa?”
“Kau tak
pernah terfikir ke nak cari ibu kandung kau?”
Tanya Khairul perlahan. Bimbang
juga kalau soalannya itu akan menimbulkan rasa tidak senang hati pada kawannya
itu.
“Kalau aku
nak cari sekalipun, aku tak tahu nak mulakan macam mana.” Jawab Fahrin dengan suara yang agak mendatar.
“Sebenarnya
ada benda aku nak beritahu kau ni. Kau
jangan terkejut pulak.”
“Hal apa?” Tanya Fahrin.
“Pasal ayah
kau.”
“Kenapa
dengan ayah aku?” Tanya Fahrin lagi.
“Aku ada
tanya kawan-kawan aku yang kerja di penjara yang kau sebut tu. Kalau kes 20 tahun dulu, ada seorang je
banduan yang bernama Farouq bin Fahim.”
“Ayah aku?”
“Kalau
betullah banduan tu ayah kau, dia sebenarnya tak kena gantung pun. Cuma dihukum penjara 20 tahun kerana
membunuh.”
“Membunuh?!” Hampir gugur jantung Fahrin mendengarnya.
###
Hazran
memandang isterinya. Tersenyum. Dia tahu isterinya memang tak setuju dengan
keputusannya itu. Tapi, siapa yang tak
gelap mata dengan tawaran macam tu. RM5
juta dalam tangan dalam sekelip mata.
Hanya perlukan meyakinkan Farouq untuk mengaku tuduhan yang dikenakan
terhadapnya dan berjanji akan jaga
anaknya, Fahrin.
Harlina
turun ke ruang tamu. Mengucap panjang
dia melihat keadaan ruang tamu yang berselerak.
Dilihat anak keduanya Haziq sedang menangis. Haizam pula buat tak tahu sahaja. Fahrin sedang memujuk Hazim yang turut
menangis.
“Kenapa
ni?” Tanya Hazran keras. Haizam dah pucat bila dilihat sisi berang
papanya.
“Siapa yang
buat adik nangis ni?” Tanya Harlina
lembut.
“Abang yang
buat papa.” Fahrin mengaku. Pang! Satu tamparan hinggap ke pipi anak
kecil yang berusia 10 tahun itu. Harlina
beristighfar panjang. Hazim dan Haziq
berlari mendapatkan abangnya.
“Kau ni kan
memang tak guna tau! Asyik menyusahkan
aku jek. Memang dasar anak…”
“Abang!” Pantas Harlina memotong kata-kata
suaminya. Hazran terus keluar dari
rumah. Harlina tak sempat nak cakap
apa-apa lagi. Suaminya sudah banyak
berubah. Lagaknya seperti orang kaya
baru. Selalunya selepas kalah dalam kes
di mahkamah, dia akan berkurung di rumah untuk seminggu. Ini tidak, hari ni kes tutup, esok dia dah
bawa anak-anak pergi bercuti. Dan
tiba-tiba sahaja balik bawa Fahrin bersama.
Hazran
semakin lupa perihal keluarga. Kerja pun
dah jadi malas. Asyik nak enjoy
sahaja. Kena pecat pun dia buat tak
kisah sahaja. Dan kemuncaknya ialah bila
dia kantoi ditangkap khalwat di sebuah hotel.
Hancur luluh hati mama. Mereka
bercerai.
###
“Masa tu aku
dah terfikir dah. Mesti mama taknak jaga
aku. Aku dah bayangkan yang aku akan
dibiarkan macam tu sahaja. Tapi, aku
silap. Mama bawa aku sekali balik
kampung. Mama baik sangat. Sebab tu aku
sayang sangat kat dia.”
“Mama selalu
ingatkan aku yang ni bukan anak kandungnya, jadi aku mesti jaga batas
kami. Dari kecik aku tolong mama buat
kuih, jual nasi lemak. Kuih-kuih dan
nasi lemak ni dah sebati dalam jiwa aku.
Aku hanya nak dia seorang sahaja sebagai mama aku.” Sambung Fahrin lagi.
“Aku faham
tu. Kau boleh cari ayah kau, tapi kenapa
tidak ibu kau.”
“Sebab aku
taknak bahagikan kasih sayang antara mama dan ibu kandung aku. Aku tahu
bunyinya macam tak adil. Jadi, kalau
boleh biarlah dia yang cari aku, bukan aku yang cari dia. Aku taknak mama terasa. ” Balas Fahrin.
“Okeylah,
aku nak gerak dah ni. Kalau kau dah
sedia, kau beritahu aku. Aku bawa kau
jumpa kawan aku tu.”
“Okey.” Balas Fahrin pendek.
“Kira,abang
balik dululah. Nak bawa mama pergi
hospital.”
“Makcik
sakit ke?”
“Takdelah
nak buat check-up jek.”
“Nanti kalau
jumpa doktor Fazurina kirim salam yer.”
Usik Akira.
Fahrin
tersenyum mendengar nama itu. Tiga bulan
lepas pertama kalinya dia terlihat gadis itu di hospital. Senyumannya yang manis benar-benar
menggetarkan dada. Mungkin telah jatuh
cinta pandang pertama. Sangkanya
Fazurina hanya doktor biasa sahaja, rupa-rupanya dia adalah pakar jantung. 28
tahun, beza dua tahun sahaja dengannya.
“Jantung
makcik okey. Cuma kalau boleh, makcik
kurangkan makanan yang berkolestrol tinggi.”
Nasihat doktor Fazurina.
“Banyak
sangat makan nasi lemak mama ni.” Usik
Fahrin.
“Ish, mana
ada. Mama buat jek.” Nafi mama Fahrin. Fazurina tersenyum. Cemburu melihat kemesraan dua beranak
itu. Rindu pada ibunya yang telah lama
meninggal dunia.
“Saya pun
makan nasi lemak juga, tapi kena pandai menjaga kuantiti. Sebenarnya kita ni
confuse dengan perkataan ‘lemak’ tu. Dalam lemak santan tu, dalam kacang, dalam
sambal, dalam timun ada khasiatnya yang tersendiri. Rajin-rajinlah google ye.”
“Hah! Padan
muka. Kan dah kena setepek dengan doktor.” Puan Harlina mengejek anaknya. Fahrin sengih sahaja.
“Sebenarnya,
banyak makanan kita ada khasiatnya yang tersendiri. Kafien tu sendiri pun ada kebaikannya. Tapi, kita dah set dalam minda kita kafein
itu membahayakan. Yang bahaya ialah bila
kita tidak menjaga kuantiti pengambilannya dan juga masa yang sepatutnya. Contohnya, buah-buahan. Bila kita makan di waktu pagi, dia jadi
vitamin. Tapi, bila kita makan waktu
malam, dia jadi gula dalam badan kita.”
Tambah doktor Fazurina lagi.
“Rajin-rajin
google.” Celah puan Harlina. Sengaja nak mengenakan anaknya itu. Fahrin tersengih lagi.
“Terima
kasih ya doktor. Jadi makcik ada nak
kena jumpa doktor lagi ke?” Tanya puan
Harlina.
“Lagi 3
bulan makcik datang lagi untuk pemeriksaan susulan.” Jawab doktor Fazurina.
“Nanti nurse
akan beritahu tarikhnya.” Tambah
Fazurina.
“Doktor
kalau nak rasa nasi lemak makcik, pergilah ke Restoran Farhana. Tak jauh dari hospital ni.”
“Tapi, kena
awalllah. Sebab nasi lemak makcik
Harlina ni laku keras, letak pukul 07:00, belum pukul 08:00 dah habis.” Pesan Fahrin.
“Insha
Allah, esok saya cari.”
Dan selepas
itu hampir setiap hari pasti doktor Fazurina singgah di Restoran Farhana untuk
bersarapan atau bungkus sarapan. Dan
sejak itulah Fahrin rajin betul melepak di Restoran Farhana selepas menghantar
nasi lemak dan kuih-muih. Siap tolong
susun lagi.
Hati berbunga ceria bila dapat bertemu mata dengan gadis
pujaan hati. Namun, dia sedar diri. Hanya menyimpan impian dalam hati. Tak mahu menaruh harapan terlalu tinggi. Mama memang dah bising suruh kahwin. Umur dah 30 tahun kot. Mama memang dah sibuk suruh masuk meminang
Akira. Yang itu lagi tak mungkin. Kesian Khairul. Bukan dia tak tahu yang inspektor Khairul tu
dah lama menaruh hati kat minah tomboy tu.
Minah tu lagi satu, kalau disebut pasal kahwin dia punya mengeliat macam
disuruh makan ulat. Spesis apa entah.
“Ayah kau
dipenjarakan selama 20 tahun. Dua tahun
lepas dia dapat pengampunan. Dia dapat
keluar awal.” Cerita Khairul.
“Ke mana dia
pergi ya selama dua tahun ni?”
“Sekejap
lagi kawan aku send gambar dia. Mungkin dengan gambar tu kau boleh mulakan
usaha untuk cari dia.” Khairul memberi
harapan.
Handphone
Khairul dan Fahrin berbunyi serentak. Khairul menerima mesej bergambar dari
kawannya. Dan Fahrin pula mendapat
panggilan telefon dari Akira.
“Pakcik Rock
kena pukul.” Beritahu Fahrin. Khairul dan Fahrin terus berlalu meninggalkan
kedai minum itu. Mereka bergegas ke
hospital.
Tiba sahaja
di hospital mereka meluru ke unit kecemasan.
Cemas jugalah bila dengar Akira menangis bersungguh tadi. Sampaikan apa
yang dia cakap pun kurang jelas didengar.
Yang dapat didengar, ‘kena pukul’ ‘hospital’.
“Kau
okey?” Tanya Khairul. Akira masih menangis. Tak tahu nak cakap macam mana.
“Dia masih
kat dalam.” Tersedu-sedu Akira cuba menjawab.
“Aku tahu
kau tengah sedih. Tapi, kau kena juga
jawab soalan aku ni.” Fahrin nampak
tegas. Akira memandang tak mengerti.
“Mana kau
kenal pakcik Rock ni?”
“Kenapa
tiba-tiba kau tanya soalan ni?” Akira
tak faham.
“Dari hari
pertama dia kerja kat situ lagi aku dah tanya kau. Kau asyik mengelak sahaja.”
“Siapa nama
sebenar pakcik Rock tu?” Tanya Khairul
lembut.
“Tak
tahu.”
“Takkan kau
tak tahu. Dia pekerja kau kot.”
“Sebenarnya
dia bukan kerja kat situ. Aku Cuma bagi
dia tumpang tidur dan makan je. Kalau
kau nampak dia buat kerja tu, dia yang sukarela nak tolong.”
“Kira, aku
tahu kau ada sembunyikan sesuatu dari kiteorang kan? Lebih baik kau beritahu.”
“Okey. Sebenarnya, dua tahun lepas aku terlanggar
dia. Dua minggu dia terlantar kat
hospital. Hari-hari aku datang melawat
dia. Nurse pun cakap takda orang lain
yang melawat dia selain aku. Aku nak
hubungi keluarga dia pun aku tak tahu macam mana. Masa dia nak keluar tu,barulah dia berterus
terang dengan aku yang dia sebenarnya baru keluar dari penjara. Dan dia tak tahu mana nak pergi. Dia nak cari anak dia. Aku tak beritahu kau
berdua sebab aku takut korang marah sebab tumpangkan bekas banduan kat restoran
tu. Aku kesian dengan dia. Selama dua
tahun ni, setiap hari dia keluar cari anak dia.”
“Kenapa dia
kena pukul?”
“Dua mamat
tak guna tu tipu dia. Dia cakap dia dah
jumpa anak pakcik Rock tu. Dia bawa
entah saper, kononnya itu anak pak Rock.
Pak Rock tak percaya. Diorang tak
puas hati, sebab tu diorang belasah pak Rock.”
Cerita Akira.
“Yang kau
nangis beriya sangat kenapa?” Tanya
Fahrin serius.
“Sebenarnya
pak Rock dah tahu siapa anak dia. Lepas
dia tunjuk gambar anak dia pada aku 2 bulan lepas. Dia tak berani nak …..” Akira tidak meneruskan kata-katanya.
“Jadi memang
betullah dia tu ayah aku?”
“Ya.”
Ya Allah kau
tabahkanlah hatiku. Kau temukanlah aku
dengan ketenangan. Ya,memang aku
teringin sangat nak jumpa balik ayah.
Tapi, mengetahui ayahku sebenarnya seorang pembunuh hati aku berat nak
terima semua ni. Patutlah sejak
akhir-akhir ini pakcik Rock tu nampak lain. Selalunya dia tak mahu berbual
dengan sesiapapun. Tapi, kebelakangan
ini dia selalu tegur aku. Buatkan
minuman sebelum aku minta. Sekarang baru
aku tahu, kenapa masa pertama kali aku minum air milo yang dia bancuhkan untuk
aku tu memberikan aku satu rasa perasaan yang lain dari yang lain. Rupanya itulah dejavu. Setiap pagi ayah akan bancuhkan aku secawan
milo sebelum ke sekolah.
“Fahrin
kan?” Satu suara menegur. Fahrin menoleh.
“Eh,
doktor! Tak balik lagi ke?”
“Sekejap
lagi.”
“Kenapa
ni? Nampak serabut jek. Makcik okey ke?”
“Mama
okey. Ayah saya masuk hospital.” Jawab Fahrin.
“Boleh saya
duduk?”
“Duduklah.” Jawab Fahrin.
“Kenapa
ni? Ada masalah ke? Setahu saya awak ni
seorang ceria. Saya suka tengok awak
dengan mama awak. Cemburu saya tau.”
“Kenapa
pula?” Fahrin tak faham.
“Saya dah
takde mak. Mak saya dah meninggal masa umur saya 8 tahun. Saya tak rapat sangat
dengan mak tiri saya.”
“Kalau macam
tu anggap jelah mama saya tu mama doktor.”
“Saya taknak
lah main anggap-anggap. Saya nak dia
betul-betul mama saya.” Kata Fazurina.
“Eh, doktor
nak ajak saya kahwin ke?”
“Eh, jangan
nak perasan ya. Saya nak jadi anak mama
awak, bukan jadi isteri awak.”
“Yelah,
siapa lah saya ni. Tauke kuih jek.”
“Janganlah
macam tu. Saya bergurau jelah. Walaupun awak tauke kuih, awak ni ada satu
harta yang sangat berharga tau. Kalau
boleh dibeli, saya pun nak beli.”
“Ya ke? Apa dia?”
“Kasih
sayang. I can see how you care so much
to your mother.” Jelas doktor Fazurina.
“Saya nak
balik ni. By the way makcik tahu tak
ayah awak masuk hospital ni? Kalau nak beritahu dia, cakap perlahan-lahan
tau. Jangan bagi dia terkejut pulak.”
“Sebenarnya
yang warded ni ayah kandung saya. Mama
saya tu mama angkat saya. Diorang takde
kaitan pun. Diorang pun tak kenal antara
satu sama lain.”
Fazurina
memandang wajah lelaki itu. Wajah yang
penuh dengan kasih sayang.
Pagi
esoknya.
“Eh, makcik!
Buat apa kat sini?”
“Hantar nasi
lemak ni. Maaflah kuih takde hari
ni. Fahrin tak sempat buat.”
“Ayahnya
masuk hospital kan? Saya ada terserempak
dengan dia malam tadi.”
“Makcik
datang dengan apa ni?”
“Tadi minta
tolong anak bongsu makcik yang hantar.
Ni nak tunggu Khairul. Fahrin
pesan dia tolong hantar makcik.”
“Kalau
makcik tak kisah, saya boleh hantarkan.”
“Eh,
susahkan doktor jek. Doktor kan nak
pergi kerja.”
“Saya kena
on call malam tadi makcik. So pagi ni
saya tak payah masuk. Petang nanti baru
saya standby kat hospital.”
Puan Harlina
setuju dihantar oleh Fazurina bila Khairul menghubunginya dan mengatakan dia
mungkin lewat kerana ada kes di tempatnya.
Fazurina gembira sangat apabila puan Harlina setuju.
“Sambil-sambil
ni boleh lah saya survey rumah sewa makcik.
Dah lebih 3 bulan menumpang rumah kawan.
Segan pulak saya.”
“Kawannya
dah kahwin ye?” Teka makcik
Harlina. Fazurina angguk.
“Tinggal
dengan makcik jelah. Makcik pun tinggal sorang-sorang je kat rumah tu.”
“Eh, Fahrin
tak tinggal dengan makcik ke?” Fazurina
hairan.
“Dulu memang
kami duduk serumah. Lepas semua
anak-anak makcik dah kahwin, dia beli rumah sebelah makcik. Walaupun kami ni
macam anak beranak, kami tetap bukan
muhrim. Dia tu bukan anak kandung
makcik.” Jelas makcik Harlina.
“Kalau
doktor nak duduk dengan makcik cakap jek.
Makcik tak kenakan bayaran sewa pun.
Cuma doktor tolong jaga jantung makcik jek. Tapi, kena tahanlah bau nasi lemak
pagi-pagi. Yang bestnya lagi, tiap-tiap
pagi boleh dapat karipap telur fresh dari kuali.” Tambah makcik Harlina. Fazurina tersenyum malu. Mana pulak makcik ni tahu itu kuih
kegemarannya.
Fahrin tak
tahu nak gambarkan perasaannya samada gembira atau marah. Entahlah, susah nak terima dirinya adalah
anak seorang pembunuh. Selama ni dia
cuma tahu yang ayah kandungnya mati dihukum gantung 20 tahun lalu. Itu kata papa. Mama tak pernah buka mulut pasal ayah. Mama selalu cakap mama tak tahu apa-apa. Tentang ibu kandungnya lagilah mama tak tahu.
“Nurse cakap
takde pelawat datang. Tapi, bukan ke awak setiap hari ada kat sini?”
“Hmm.” Fahrin tiada jawapan.
“Kenapa
ni? Dah tiga hari ayah awak kat hospital
ni. Awak marah ayah awak ke?” Tanya doktor Fazurina lagi.
“Maaflah
kalau saya banyak tanya. Saya risau
tengok awak macam ni. Makcik pun risau
tau. Awak tahu kan makcik tu tak boleh
risau. Boleh effect kesihatannya.” Bicara Fazurina seakan memujuk.
“Saya malu.
Sedih.” Perlahan suara Fahrin.
“20 tahun
saya sangka ayah saya dah mati.
Tiba-tiba saya dapat tahu yang ayah saya sebenarnya masih hidup. Dan sebenarnya dah dua tahun saya jumpa dia,
tapi saya tak tahu pun itu ayah saya.”
Luah Fahrin.
“Saya tak
tahu nak cakap macam mana. Nak happy ke, nak marah ke…entahlah.”
“Fahrin,
awak beruntung tau. Ayah awak masih hidup.
Awak masih berpeluang nak berbakti pada dia. Nak peluk cium dia. Tak macam saya. Mak kandung saya dah meninggal masa umur saya
8 tahun lagi. Kalaulah tiba-tiba saya dapat
berita macam awak ni yang rupa-rupanya mak saya masih hidup, pasti saya jadi
orang yang paling gembira.”
“Ayah saya
bekas banduan.” Celah Fahrin.
“Siapapun
dia sebelum ni, dia tetap ayah awak.
Awak kena terima dia. Dia pasti
rindukan awak sangat-sangat. Awak boleh
belajar memaafkan kan?”
“Tak
tahulah. Saya boleh terima kalau
kesalahan dia tu merompak ke, menculik ke atau mengedar dadah sekalipun, saya
mampu nak maafkan. Tapi, dia pembunuh.
Tergamak dia meragut nyawa orang lain.”
Luah Fahrin kecewa.
“Jom, ikut
saya.” Ajak Fazurina.
“Ke mana?” Tanya Fahrin tak faham.
“Ikut
jelah.” Pujuk Fazurina.
Mereka masuk
ke dalam wad. Pakcik Farouq sedang tidur
lena. Nampak bengkak sana sini. Nasiblah Khairul dah tangkap penyangak yang
pukul ayahnya ni. Kalau tidak, siaplah
korang.
“Maafkan
Fahrin ayah.” Fahrin menangis. Fazurina tersenyum. Dia memandang wajah lelaki tua itu. Kenapa dia rasa macam pernah nampak wajah
lelaki ini. Matanya melirik ke papan
nama pesakit. Farouq bin Fahim? 20 tahun?
Tak mungkin. Fazurina memandang
lagi wajah lelaki itu. Tidak. Fazurina
terus berlari pergi. Fahrin tak faham. Dia berlari mengejar Fazurina.
“Doktor.
Kenapa ni?” Fahrin tak faham.
“Awak buat
apa kat sini? Pergilah tengok ayah
awak.” Suara Fazurina tidak lembut macam
tadi.
“Doktor
kenapa ni? Saya ada buat salah ke?” Mendatar suara Fahrin.
“Ayah awak
pembunuh ibu saya.”
Fahrin
terjelepuk di situ. Nampaknya satu lagi
kejutan yang dia terima hari ini.
Mungkinkah harapan untuk memiliki gadis itu sebenarnya memang tiada. Tapi….. patut ke aku mengalah. Fahrin memandang pintu wad. Memandang Fazurina yang sudah semakin jauh
pergi. Kembali pada ayahnya atau
mengejar cinta hatinya. Sudahlah
Fahrin. Patutlah hati kau tu berat
sangat nak luahkan perasaan pada dia sebelum ni. Rupanya kebenaran ini telah menghancurkan
segala harapannya.
Fahrin
meminta izin ayahnya untuk balik ke rumah.
Nak mandi dan berehat. Esok pagi
terpaksa juga buat kuih. Kesian Akira,
pelanggan asyik tanya pasal kuih.
Takpelah, ayah pun dah okey sikit tu.
Tengahari esok dia akan datang semula.
Fahrin melangkah malas menuju ke keretanya. Ada seseorang sedang menanti di luar
keretanya.
“Doktor?” Fahrin terkejut. Kebetulan kereta mereka di’parking’
bersebelahan.
“Kereta saya
tak boleh start. Awak bawa grab
kan? Boleh hantar saya?”
“Errr..”
“Okey, saya
sebenarnya nak minta maaf. Tadi saya
bersungguh suruh awak maafkan ayah awak.
Tapi, saya pulak yang nak marah.
Sorry, teremosi sikit tadi.” Akui
doktor Fazurina.
“Jom, saya
hantar balik.” Fahrin tersenyum.
“Mana korang
nak pergi?” Tanya satu suara. Fahrin dan Fazura menoleh. Ada 3 orang lelaki berpakaian ala mafia
berdiri di belakang mereka.
“Kau Fahrin
kan? Jom ikut kami.” Arah lelaki yang pertama.
“Kenapa pula
aku nak ikut kau?” Marah Fahrin.
“Kalau kau
taknak aku apa-apa kan perempuan ni, lebih baik kau ikut aku.”
“Hei! Kau jangan
nak sentuh dia.” Marah Fahrin lalu berdiri di hadapan Fazurina sambil
mendepangkan tangannya.
“Aku taknak
cari masalah dengan kau. Kau ikut je
aku.” Bicara lelaki yang kedua pula.
“Okey, aku
ikut kau. Tapi, aku sorang je.”
“Kau dah
gila. Kalau kami lepaskan doktor cantik
ni, dia report polis macam mana?” Sampuk
lelaki ketiga.
“Fahrin,
saya takut.” Bisik Fazurina.
“Awak jangan
risau. Saya akan jaga awak.” Balas Fahrin.
Mereka tiba
di sebuah banglo mewah. Pelik. Ketua mafia mana pulak yang nak jumpa aku
ni. Apa pulak masalahnya. Tak puas hati ke dah lama tak dapat makan
kuih-muih air tangan aku. Setahu aku
takde musuh. Ke geng budak-budak yang
pukul ayah. ish! pening aku. Maafkan saya doktor kesayanganku. Saya janji saya akan lindungi awak.
Fahrin dan
Fazurina dibawa masuk ke satu bilik dalam rumah itu. Salah seorang dari mereka keluar dari
bilik. Tak tahulah mereka ke mana. Salah seorang dari dua lelaki yang masih
dalam bilik itu asyik memandang Fazurina.
Fahrin menunjuk penumbuk. Dia
cuba nak menyerang, kawannya yang lagi seorang menghalang. Daun pintu terkuak. Lelaki yang keluar tadi itu masuk bersama
seorang lelaki lain.
“Papa?” Fahrin terkejut.
“Hmm.”
“Kenapa papa
buat macam ni?”
“Siapa
perempuan ni?” Hazran bertanyakan tentang
Fazurina.
“Perempuan
ni ada dengan Fahrin tadi tuan.”
“Buat apa
kau bawa dia ke sini?”
“Nanti kalau
dia report polis macam mana tuan?”
“Dah kau
datang macam mafia, memanglah dia report polis.” Marah Hazran.
“Dah! Kau semua boleh keluar. Suruh perempuan ni tunggu kat ruang tamu.”
“No! Dia
akan tetap ada dengan abang. Abang tak
percaya dengan dia ni.” Fahrin menuding jari ke arah lelaki yang asyik
memandang Fazurina dari tadi.
“Abang
abang. Kau dengan ayah kau sama je. Over protective.” Hazran menggeleng kepala. Dia memberi arahan dengan tangan agar
orang-orangnya keluar. Hazran menyuruh
Fahrin duduk.
“Aku minta
maaf pasal diorang tu. Perasan nak jadi
mafia konon. Boss dia ni jual sabun
jek.” Hazran ketawa kecil.
“Papa nak
apa sebenarnya? Abang tak faham.”
“Aku tahu
kau masih marah sebab aku pernah pukul kau, pukul mama dan adik-adik kau. Aku minta maaf.”
“Kalau
ikutkan hati, memang abang taknak maafkan papa.” Fahrin bersuara geram.
“Takpelah. Papa cakap je papa nak apa. Abang nak balik ni. Mesti mama risau. Abang dah beritahu dia yang abang nak balik
dah.” Fahrin malas nak tunggu lama-lama
di situ. Lagipun dia kesiankan Fazurina
yang masih ketakutan.
“Lepas aku
cerai dengan mama kau, aku lari ke luar negara.
Macam-macam berlaku pada aku. Aku
muflis. Merempat. Isteri muda lari ikut mat salleh. Dan aku
sedar, itu semua balasan untuk aku sebab tidak amanah.” Hazran mengeluh kesal.
“Dua tahun
lepas aku jumpa seseorang yang telah merubah hidup aku. Alhamdulillah. Aku dapat balik ke Malaysia. Dan aku rasa dah tiba masanya aku tunaikan
amanah aku tu.”
“Apa maksud
papa?”
“Sebenarnya
ayah kau tak bunuh pun isteri majikan dia tu.
Dia tu hanya kambing hitam sahaja. Dia berada di tempat dan masa yang salah. Aku diupah untuk meyakinkan ayah kau supaya mengaku saja. Aku cakap dengan dia, kalau dia bebas, ada
orang yang akan balas dendam. Dia lebih
selamat dalam penjara. Dia setuju bila aku cakap yang aku akan jaga kau. Tapi,
aku gelap mata. Aku lupa janji aku. Ayah aku suruh aku cari ibu kau. Ini sahaja
yang aku ada untuk kau. Dah pudar. Tapi, aku yakin dengan teknologi sekarang ni,
kau boleh dapatkan gambaran yang sebenar.”
Fahrin dan
Fazurina tidak berbicara apa-apa sepanjang perjalanan pulang. Kereta Fahrin masuk semula ke perkarangan
hospital. Dia menuju ke tempat letak kereta
doktor Fazurina. Dia tahu Fazurina masih
trauma dengan kejadian tadi.
“Saya takut
nak balik.” Fazurina bersuara.
“Saya minta
maaf.”
“Boleh tak
kalau malam ni saya tumpang tidur rumah mama awak?” Pinta Fazurina.
“Adik ipar
kawan saya ada kat rumah. Dia tu selalu
tenung saya macam lelaki mafia tadi tu.”
Luah Fazurina.
“Saya minta
maaf. Tak sepatutnya awak lalui semua
ni.” Fahrin benar-benar kesal.
“Saya call
mama ye.”
“Terima
kasih.” Ucap Fazurina.
Bau nasi
lemas sudah menusuk ke deria baunya. Kesian mama, sebenarnya mama dah penat. Tapi, tulah anak bujang kesayangannya tu
masih belum lulus buat nasi lemak. Sudah
dua minggu dia menumpang tinggal di situ.
Sejak kejadian malam tu, Fazurina mengambil cuti selama seminggu untuk
memulihkan kembali semangatnya.
“Esok ayah
dah boleh keluar hospital. Nanti abang
terus bawa balik ayah ke rumah abang.
Mama okey kan?”
“Eh, apa
tanya mama pulak. Tu kan ayah kandung
abang. Dah lama sangat abang jaga mama,
ni giliran abang jaga ayah abang pulak.”
“Habis tu,
siapa nak jaga mama?”
“Saya kan
ada.” Fazurina mencelah.
“Makcik nak
ikut Rin tak ni?”
“Eh,
mestilah.”
“Amboi, dia
dah dapat anak angkat baru, anak angkat lama ni diabaikan.” Fahrin dah mencekak pinggang. Fazurina dan makcik Harlina ketawa.
Assalamua’laikum! Terdengar satu suara menjerit. Dah kenal sangat suara Akira tu. Awal betul datang. Tadi kata nak datang pukul 10 hantar
barang-barang ayahnya untuk dibawa ke rumahnya.
“Bro! Kau
tengok ni!” Jerit Akira dari luar.
“Kot yapun
masuklah dulu.” Marah Fahrin.
“Tadi aku
kemas bilik pakcik Rock aku jumpa ni.”
Fahrin mengambil sekeping gambar dari tangan Akira. Fahrin merenung gambar itu. Lalu ditunjukkan pada Fazurina dan mamanya.
“Ini macam
gambar yang papa awak bagi tu kan?”
Tafsir Fazurina.
“Ya, gambar
ni nampak lebih jelas.”
“Ini mak kau
bro! Kau tengok, ni gambar mak kau
tengah pregnant.”
“Maknanya
kau ada adiklah.”
“Assalamua’laikum.” Khairul pula yang sampai.
“Hai, apahal
excited sangat minah ni?” Khairul tak
faham bila dilihat Akira ceria sangat.
“Ni hah!
Takyah susah-susah nak pergi ‘clear’kan gambar yang papa dia bagi tu.” Teruja sangat Akira bercerita. Khairul melihat gambar itu.
“So,
senanglah sikit kerja kau.” Tambah
Akira. Khairul melihat gambar itu.
“Ini bukan
mak kau ke?” Khairul memandang Akira.
Semua terkedu dan terdiam. Akira
mengambil semula gambar itu. Dia mula
merenung lama gambar itu. Lalu dia
memandang Fahrin. Memangpun mereka
sama-sama ber’bin’ dan ber’binti’kan Farouq.
Tapi tak pernah terfikirpun yang mereka adik beradik sebab masing-masing
ingatkan mereka ni anak tunggal.
“Makcik rasa
lebih baik Kira beritahu mak Kira kat Kuantan tu.” Nasihat makcik Harlina.
Dua minggu
berlalu. Seperti biasa Fazurina singgah di Restoran Farhana untuk membeli
sarapan pagi. Fahrin menyambut kedatangan gadis itu dengan senyuman. Memandangkan malam tadi dia bertugas, pagi
ini dia bersarapan di situ.
“Betul ke
makcik dah tak buat nasi lemak lagi?”
Fazurina memulakan perbualan.
“Betullah
tu. Anak bujang dia ni dah lulus buat nasi
lemak tau.” Jawab Fahrin dengan bangga.
“Kenapa? Tak
sedap ke nasi lemak saya buat ni?” Tanya
Fahrin bila dilihat reaksi Fazurina.
“Saya happy
tengok awak sekeluarga. Mesti awak tak
sangka kan, orang-orang yang selama ini awak anggap keluarga, sebenarnya memang
keluarga awak. Saya cemburu.”
“Awak kan
dah jadi sebahagian dari keluarga saya juga.
Doktor kan dah jadi anak angkat mama saya.” Balas Fahrin.
Fazurina tersenyum nipis.
“Mama cakap
awak nak pindah? Betul ke?” tanya Fahrin.
“Mak tiri
saya tu baik. Tapi, saya yang cuba
jauhkan diri dari dia. Saya nak belajar
jauh-jauh. Kerja jauh-jauh. Saya tak rapat dengan adik beradik saya. Saya ni orang yang tak menghargai keluarga
sendiri. Senario awak sekeluarga ni
benar-benar menyedarkan saya. Saya
terfikir nak kembali semula ke Johor.
Tinggal dengan keluarga saya. Tapi saya masih berhutang dengan
awak. So, saya kena selesaikan dulu.” Luah Fazurina.
“Hutang
apa?” Fahrin tak faham.
“Saya sangat
berterima kasih pada awak sebab pinjamkan mama untuk jaga saya lepas kejadian
papa awak ‘culik’ kita tu. Dan saya
janji yang saya akan buat apa saja untuk awak.
Dan awak masih tak beritahu lagi apa yang awak nak saya buat untuk awak
kan? So, saya awak fikir-fikirkan. Lepas tu beritahau saya. Selagi saya tak selesaikan hutang tu, saya
tak sedap hati nak tinggalkan Kuala Lumpur ni.”
Jauh anak
bujangnya itu termenung. Dengan kisah
Fazurina nak balik Johor. Dengan kisah
mak dan ayah yang nak pindah balik Kuantan.
Akira yang perempuan tu dibenarkan pula duduk KL ni. Dengan alasan ada si Khairul yang boleh
tolong tengok-tengokkan. Aku ni lelaki
kot. Kesiankan mama
seorang-seorang. Kalau Fazurina ada,
bolehlah dia temankan. Fazurina pun nak
balik Johor. Haziq dan Hazim tu, bukan
boleh temankan mama selalu. Haish! Serabutlah.
“Okey, abang
beri alasan pada mama. Kenapa abang tak
nak ikut mak dan ayah abang tinggal di Kuantan?” Tanya makcik Harlina tegas.
“Nanti mama
tinggal seorang.”
“Adik-adik
kamu kan ada.” Balas makcik Harlina.
“Diorang tu
sibuk.” Alasan Fahrin.
“Nanti siapa
nak buat nasi lemak kat Restoran Farhana tu?” Tambah Fahrin.
“Abang ingat
KL ni ada sorang sahaja ke pembuat nasi lemak?”
Bidas makcik Harlina.
“Abang dah
besarlah mama.”
“Abang masih
bujang. Lainlah kalau abang dah kahwin
ke.” Balas makcik Harlina. Fahrin terdiam.
Fahrin
memandang jam dinding. Dah pukul 02:00 pagi.
Matanya masih belum dapat lena.
Dia masuk ke bilik air. Mengambil
wudhu’. Sejadah dibentangkan. Fahrin mengangkat takbir. Bermula dengan
solat sunat hajat dan disusuli dengan solat sunat istiharah. Selesai memberi salam, dia dah mula
menguap. Mata dah mula mengantuk.
Selesai
solat Subuh Fahrin terus turun ke dapur.
Menggoreng karipap telur yang sudah disiapkan sejak semalam. Sejak dah
jadi pekerja tetap di Restoran Farhana, dia tidak lagi menghantar kuih ke
destinasi-destinasi lain seperti sebelum ini.
Setiap pagi dia akan buat beberapa jenis kuih dan akan membuat nasi
lemak di restoran. Malam tadi mak dan
ayah tidur di rumah Akira. Sejak bertemu
semula, mak dan ayah taknak berenggang langsung. 25 tahun mereka berpisah. Mak balik kampung semasa mahu melahirkan
Akira. Berlaku sedikit perbalahan antara
mereka bila mak taknak kembali semula ke Kuala Lumpur selepas bersalin. Ayah pula tegas dengan keputusannya untuk
terus berkhidmat dengan keluarga Doktor Faliq, ayah Fazurina. Ayah menyesal, kerana sikap kebudak-budakan
yang kononnya merajuk dengan isterinya, 5 tahun dia tidak pulang ke kampung dan
tidak langsung menjengah anak perempuannya sejak dilahirkan. Di masa tua ni dia nak menghabiskan masa
bersama isterinya.
Fahrin terus
memandu keretanya menuju Restoran Farhana.
Dia terus ke bahagian dapur restoran itu. Ada seorang pekerja yang tolong susunkan
kuih-muih di atas meja. Fahrin terus
mula menanak nasi lemak. Sambal dia dah
siapkan dari rumah. Tinggal nak panaskan
sahaja.
“Minggu
depan saya nak balik Johor.” Beritahu
Fazurina.
“Cepatnya.”
“Awak pun
dah nak pindah Kuantan kan?” Balas
Fazurina.
“Saya tak
buat keputusan lagi.” Jawab Fahrin.
“Kenapa?” Tanya Fazurina.
“Awak belum
bayar ‘hutang’ lagi kan?” Fahrin beralih
topik.
“So, awak
dah fikirkanlah ya. Jadi, awak nak saya
buat apa untuk awak?”
“Jadi isteri
saya.”
“Awak ni.
Saya seriuslah.” Fazurina ketawa.
“Saya
seriuslah ni. Saya nak awak jadi isteri
saya.” Ujar Fahrin bersungguh.
“Awak nak
kahwin dengan saya sebab awak nak mengelak dari kena pindah Kuantan kan?” Tebak Fazurina. Fahrin terdiam.
“Saya balik
dululah. Nak berehat.” Fazurina bangun dari tempat duduknya.
“Saya serius
Rin.” Fahrin bersuara.
“Saya dah
lama sukakan awak. Tapi, saya
takut. Saya tak yakin yang awak akan
terima saya. Bila awak beritahu yang
awak nak pindah balik Johor, saya takut.
Saya takut akan kehilangan awak buat selamanya. Itu yang lebih membimbangkan saya berbanding
nak kena pindah Kuantan tu.” Luah
Fahrin. Fazurina duduk kembali.
“Saya dah
penat.” Fazurina bersuara.
“Maaf. Kalau awak taknak bincangkan hal ni. Saya tahu…”
“Shhh…”
Fazurina membuat isyarat supaya Fahrin berhenti bercakap.
“Saya dah
lama jatuh hati dengan harta yang ada pada awak.”
“Harta?”
“Sifat
pengasih awak tu. Kasih sayang awak pada
mama awak tu yang buat saya sukakan awak.
Sifat over protective awak tu. Saya memang dah penat. Penat tunggu awak beritahu saya perasaan
awak. Mama ada beritahu saya pasal
awak. Saya Cuma nak dengar sendiri dari
mulut awak. Betul ke awak memang sukakan
saya?”
“Fazurina
binti Faliq, masa kecik-kecik dulu awak selalu ajak saya main masak-masak kan.
Dan awak pernah suruh saya janji yang saya akan masak untuk awak betul-betul.
Saya memang sukakan awak dan memang dah jatuh cinta pandang pertama dengan
awak. Sudikah awak makan masakan saya
seumur hidup awak?”
“Dengan
syarat.”
“Apa
dia?” Tanya Fahrin.
“Ikut saya balik Johor.”
“Johor?”
“Kenapa? Tak
sanggup?” Soal Fazurina menguji.
“Bukan macam
tu.” Fahrin tak tahu nak cakap macam mana.
“Saya dah ambil
cuti seminggu. Sejak pindah kerja kat sini, tak pernah lagi saya balik Johor. Nak jumpa keluarga
saya. Kalau awak bersungguh nak kahwin
dengan saya, jumpa keluarga saya dulu.
Saya dah cerita dengan daddy pasal awak sekeluarga. Daddy tak sabar nak
jumpa ayah awak. Daddy pernah cakap, dia
sendiri terkejut kenapa ayah awak mengaku bersalah.”
“So, balk
Johor untuk jumpa bakal mertua lah ni?”
Fahrin kembali tersenyum ceria.
Fazurina pula yang tersipu malu.
“Dan satu
lagi syarat.”
“Ada lagi?”
“Saya nak sarapan
nasi lemak dan karipap telur setiap pagi.
Boleh?”
“Boleh
saja.”
Seperti nasi
lemak, tanpa sambal tak cukup syarat.
Seperti sebuah perhubungan, tanpa kasih sayang ianya jadi hambar. Dalam
karipap mesti ada intinya. Kalau takde
inti, tak sempurna karipap itu. Dalam
sebuah keluarga, ahlinya yang membahagiakan.
Inilah cinta Nasi Lemak, Karipap Telur.
Comments
Post a Comment