Hampir 15minit menanti, barulah tiba orang yang
dinanti. Dah kenal sangat dengan teman
baiknya itu. Memang jarang tepati
masa. Lambat 15 minit sahaja ni pun dah
bagaikan satu anugerah terindah. Sebab
tulah kadang-kadang Areeana Sofea sengaja datang lewat. Jadi, tak perlulah tunggu lebih lama. Aleesha Aqeela tersengeh-sengeh sahaja
melihat Areeana yang dah setia menunggu.
“Kau serius ke? Dia
nak ke ikut kau tinggal kat bandar ni.
Jauh pulak tu dari kampung kita.”
Aleesha tak yakin dengan keputusan Areeana yang mahu bawa mak tirinya
tinggal bersama.
“Betullah. Dia kat
kampung pun sorang-sorang kan. Walaupun
kat sini aku sibuk kerja, tetapi tiap-tiap hari aku akan pastikan aku akan
balik rumah.”
“Kau ni kan aku tak faham jugak kadang-kadang. Aku kenal kau bukan baru sehari dua tau. Dari kita satu tadika lagi. Mak tiri kau tu punyalah garang. Pukul kau separuh mati pun pernah. Tak pernah pun belai kau macam anak
sendiri. Tapi, hari ini, umur kau dah 28
tahun. Kau masih lagi bertahan dengan
dia.”
“Dia kan mak aku.
Mestilah aku bertahan.” Alasan Areeana.
“Pembetulan. Mak
tiri.” Celah Aleesha.
“Cha, kau tahukan.
Umur aku 5 tahun arwah ibu aku meninggal dunia. Tak lama lepas tu, arwah ayah aku kahwin
dengan mak aku. Kawan baik ibu aku. Aku
selalu mengadu dengan ayah aku, mak aku tu garang. Suka marah-marah. Tak macam ibu. Ibu lemah lembut. Tak pernah marah. Arwah ayah cakap, itu cara mak aku. Walaupun dia garang dia sayang aku. Masa tu aku tak percaya. Kalau betul dia sayang, dia tak garang macam
tu. Masa ayah aku sakit dia pesan kat
aku, dengar cakap mak. Mak adalah mak
yang terbaik untuk aku. Aku masih tak
boleh terima. Bila ayah aku pulak meninggal,
aku dah dapat agak yang aku mesti kena tinggal.
Yelah, mak aku tu bukan sayang aku pun.
Akupun dah takde kena mengena dengan dia. Tapi aku silap. Dia terus jaga aku. Dia memang garang, tak pernah tunjuk kasih
sayang kat aku. Tapi aku tahu dia
sayangkan aku.”
“Na, kau pun tahu yang aku masih tak boleh terima kau kena
pukul pasal basikal tu. Tanpa usul
periksa terus bantai kau. Nasib baik aku
datang rumah kau tau. Kalau tak, entah
apa yang jadi masa tu. Silap-silap aku
dah tak jumpa kau hari ni.” Luah Aleesha
geram.
“Alah, benda dah lepas kan?
Tukan kes 15 tahun lepas.”
“Sepatutnya dia tanya dulu mana kau dapat basikal tu. Bukan terus tuduh kau curi basikal tu.” Geram Aleesha masih bersisa.
“Dia Cuma risau. Dia
takut aku mencuri. Budak nakal kan?”
Areeana tetap membela mak tirinya itu.
“Aku mengaku Na, kita memang nakal dulu. Tapi, janganlah terus menghukum. Kalau ikut hati aku, aku suruh ayah aku call
polis tau. Tapi, kaulah halang aku.
Penat kau berlari 10km pun tak hilang lagi.
beriya nak jadi juara pasal basikal tu.”
“Dahlah. Kita jangan
ingatlah lagi perkara yang tak best tu.”
Areeana segera mengajak menukar topik lain.
“Lepas makan ni kita pergi kedai perabot. Aku dah nampak dah katil yang sesuai untuk
mak kau. Biar aku yang belikan katil baru untuk mak kau tu.”
Areeana tersenyum.
Kenal sangat dengan Aleesha ni.
Walaupun nampak macam dia tak suka dengan mak Areeana, dia tetap ambil
berat. Aleesha ni anak ketua
kampung. Dia banyak mengadu hal pada
ayahnya tentang mak tiri Areeana.
Areeana biasalah, dia sentiasa menafikan. Dia selalu cakap, itu cara mak dia didik dia.
“Aku kena marah, sebab nakal. Aku kena pukul, sebab malas belajar.” Alasan
Areeana.
Hmm, sayang sangat dia kat mak tiri yang selalu marah-marah
dia tu. Tak dinafikan dia memang
nakal. Perangai masing-masing macam
lelaki. Kawan-kawan pun ramai lelaki. Tak mainlah masak-masak. Main perang-perang, masuk sungai, tangkap
ikan. Kena kejar dengan harimau pun
pernah. Panjang umur. Sibuk ikut orang masuk hutan. Berbilai jugalah badan kena rotan. Dah masuk 15 tahun barulah berubah sedikit
perangai. Rajin belajar, dan kurang
sikit perangai bermain tu.
Alhamdulillah, Areeana sekarang bekerja sebagai seorang jururawat dan
Aleesha seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat. Aleesha dah berkahwin dan mempunyai seorang
anak. Dan Areeana pula…
“Sasaran aku nak beli rumah, done. Sasaran utama aku, aku nak kumpul duit aku
nak tebus balik tapak tanah rumah mak aku tu.
Dan aku nak bina rumah untuk dia.
Bila semua dah tercapai, barulah aku fikirkan pasal kahwin.”
“Kau kan dah ada rumah.
Dan kau pun nak mak kau tu depan mata kau hari-hari. So, kau dah beli rumah untuk dia, lepas tu
kau nak buat rumah pulak lagi?”
“Dia gadaikan tanah tu untuk tampung aku belajar. Jadi tak salahkan kalau aku tebus balik hak
dia tu?”
“Tanah ayah kau kan tu?” Ungkit Aleesha.
“Dah jadi hak dia kan.
Dia tu isteri arwah ayah.” Tegas
Areeana.
“Terpulanglah Na.”
balas Aleesha. Dia tahu dia tak
boleh halang kehendak Areeana yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk mak Ija.
10 tahun lalu.
Berulangkali Areeana menatap surat tawaran itu. Dia tak berani nak cakap lagi dengan
emaknya. Hmm, takpelah. Tak payahlah sambung belajar. Simpan jelah hasrat tu. Mesti mak tak bagi. Buang duit sahaja. Duduk rumah sahaja tunggu orang masuk
meminang.
“Kau dah kenapa?
Daripada tadi aku tengok macam cacing kepanasan. Surat apa yang kau dapat tadi?” tanya Mak Ijah.
“Takde apa.” Jawab
Areeana takut-takut.
“Bawa sini aku tengok surat tu.” Desak Mak Ija. Areeana menggeleng.
“Kalau takde apa-apa, buat apa kau nak sorok dari aku. Cepat bagi aku tengok.” Mak Ija memaksa. Dengan perlahan Areeana menyerahkan surat
tawaran itu kepada Mak Ija.
“Takper. Na tak nak
pergi pun.” Berketar suara Areeana
bercakap.
“Kalau kau tak nak pergi, buat apa kau apply? Kalau aku
taknak kau belajar tinggi, buat apa aku bantai kau bila kau ponteng
sekolah? Buat apa aku rotan kau bila kau
gagal periksa? Buat apa aku suruh kau
pergi sekolah? Atau kau memang tak sabar
nak kahwin?” marah Mak Ija.
“Tapi, nanti mak kena keluar duit banyak.” Alasan Areeana.
“Kau tunggu.” Mak Ija
keluar dari bilik Areeana. Apa pula yang
dia nak buat ni? Nak ambil rotan
ke? Dia nak buat apa?? Seketika kemudian Mak Ija masuk semula ke
bilik. Ada sampul surat separuh A4 di tangannya.
“Dalam ni ada buku bank kau.
Duit yang kau kumpul tu, bukan hilang.
Aku masuk bank. Duit orang
sedekah, orang derma, orang khidmat kau, semua aku simpan. Duit insuran ayah kau, sesen pun aku tak
amik. Sebab aku tahu masa ni akan tiba.
Duit ni cukup untuk tampung kau belajar tanpa mohon pinjaman pun. Aku nak kau kejar cita-cita kau. Kau dah berjaya nanti, kau tak ingat aku pun
takper. Yang penting kau mampu tanggung
hidup kau sendiri.”
Cukuplah 10 tahun ni kami sering berjauhan. Selepas tamat pengajian aku mula bekerja di
Kuala Lumpur, mengikut Aleesha yang turut bekerja di sana. Sepanjang 3 tahun pengajian, memang jarang
dapat balik kampung. Mak Ija memang tak
bagi Areeana balik selalu. Jimat duit.
Dalam masa tiga tahun tu jugalah Mak Ija gadaikan rumah dan tanah. Untuk bayar sewa rumah Areeana. Dia tak bagi Areeana bekerja part time. Dia nak Areeana fikir pasal belajar sahaja.
Terlalu banyak pengorbanan mak untuk aku. Walaupun ada parut di lengan gara-gara
terjatuh sebab ditolak, itu tidak sedikitpun melunturkan rasa kasih pada wanita
itu. Dia memang garang, tapi dialah yang
beri aku makan. Memang dia tak pernah
senyum, tapi wajah masam itu yang sering dirindui. Sunyi tanpa mendengar bebelannya. Kalau dia telefon, hanya dengar bebelannya,
tapi itulah yang menceriakan hatinya.
Mak Ija berkeras juga taknak ikut pindah ke KL. Katanya nanti kebun sayurnya terbiar. Rumah takde orang nak jaga. Dan Areeana juga tak berputus asa
memujuk. Dia pun dah dewasa. Takkanlah
Mak Ija nak rotan pula. Macam-macam cara
Areeana usahakan, akhirnya Mak Ija mengalah juga. Areeana pun dah besar. Mak Ija pun taknak kalau Areeana taknak
pulang lagi menjenguk dia di kampung. Bila dah besar ni, dia dah berani nak
bermanja-manja dengan Mak Ija. Mak Ija
yang sudah semakin tua pun tak terdaya nak halang. Areeana sengaja buat-buat manja. Mak Ija tu mulut je cakap taknak, tapi kalau
Areeana sebut nak makan apa-apa, dia tetap akan buatkan. Kalau dia rasa nak
peluk, dia peluk je. Dah tak de nak
minta izin ke, takut-takut ke. Orang dah
besar. Terkuis sedikit senyuman di
bibir.
“Hah, senyum sorang-sorang.
Ingat apa tu?” Tiba-tiba suara Areeana menegur. Ish, bila pula budak ni balik.
“Bila kau balik? Tak
dengar pun kau beri salam.”
“Na beri salam. Mak
tu yang tengah berangan.” Usik Areeana.
“Mak masak apa hari ni?” Tanya Areeana manja.
“Asam pedas ayam.
Tunggu kau beli ikan keli entah bila.”
Jawab Mak Ija sambil mengomel.
Areeana tersenyum.
“Kalau kat kampung tu senang jek. Suruh je si Mail tu hantar.” Sambung Mak Ija. Areeana tertawa kecil.
“Okey-okey. Esok Na
cuti. Na bawa mak pergi
supermarket. Kita beli lauk untuk
seminggu terus. Kita beli, kita siang
sama-sama. Lepas tu kita simpan dalam
freezer. Bila nak masak mak defrost
jek. Nanti Na ajar okey.” Pujuk Areeana.
“Dah, pergi mandi.
Ntah kuman apa dah ikut kau balik, sibuk nak peluk-peluk.” Marah Mak Ija. Areeana tersenyum. Areeana melangkah ke
biliknya di tingkat atas. Mak Ija
memandang sehingga gadis itu hilang dari pandangan.
Sayangnya Areeana pada aku.
Walaupun aku tak pernah layan dia dengan baik. Walaupun aku berusaha biar dia bencikan
aku. Walaupun aku berusaha untuk
membenci dia. Fazlina, Areeana dah
besar. Didikan kau yang lima tahun tu
dah didik dia menjadi anak yang baik.
Faizal, nasihat kau supaya dia jangan pernah membenci aku dia taat
sampai sekarang. Kalaulah dia tahu niat
aku dulu, mesti dia marahkan aku.
Mungkin aku dah dibuangpun.
AlHamdulillah. Sejak
Mak Ija ikut pindah ke bandar ni, setiap hari Areeana dapa merasakan air tangan
mak Ija. Dah tak payah lagi susah-susah
singgah kedai beli makanan.
Kadang-kadang tu skip makan malam.
Waktu lunch, bila sempat dia akan singgah makan di rumah. Kalau tak sempat dia makan roti sahaja. Kalau dia shift malam, memang dia akan bawa
bekal mak dia masak.
“Aku nak tanya ni.” Mak Ija bersuara sebaik selesai makan.
“Tanya apa mak? Macam
serius je.” Tanya Areeana.
“Setahu aku, aku ni memang serius sentiasa. Bila masa yang aku tak serius?” balas Mak Ija serius. Areeana ketawa. Kalau dulu, memang rasa gerun, sekarang ni
Mak Ija marah, itulah hiburan buatnya.
“Ish mak ni. Asyik
nak marah saja. Okey, mak nak cakap
apa. Cakaplah.”
“Kau ni dah 28 tahun kan.
Bila kau…”
“Ooops! Ni mesti
soalan klise kan? Bila nak kahwin?”
Potong Areeana.
“Kenapa? Kau tak nak
kahwin?” balas Mak Ija.
“Mak sabar dulu okey.
Na ada cita-cita yang belum tercapai.”
Alasan Areeana.
“Cha tu dah ada anak seorang. Tu pun tengah pregnant anak kedua. Kau berdua kan ‘kembar’.”
“Kiteorang memang ‘kembar’ mak. Tapi kembar tak seiras. Lain mak, lain bapa. Sebab tu tak sama.” Balas Areeana. Mak Ija menggeleng kepala. Bila dah tiba masanya nanti, aku dah bersedia
untuk pergi. Bila dah ada orang jaga
kau, kau pasti dah tak perlukan aku lagi dalam hidup kau. Aku dah bersedia untuk itu.
“Satu je aku nak ingatkan kau. Jangan sesekali jatuh cinta dengan anak boss
kau. Boss ni, dia boleh terima kau
sebagai pekerja, tapi belum tentu dia boleh terima kau sebagai menantu.”
ALEESHA mengembalikan dokumen yang telah ditandatangani itu
kepada pembantunya. Ahmad Syazrul menghampiri mejanya. Menghulurkan satu fail kepadanya. Satu lagi urusan yang perlu disiapkan
segera. Baru sahaja Ahmad Syazrul nak
menerangkan lebih lanjut, Aqeed Mazreeq dah menjerit dari muka pintunya. Meminta mereka berdua masuk ke biliknya.
Seiring Ahmad Syazrul dan Aleesha Aqeela berjalan menuju ke bilik Aqeed.
“Apahal kau ni? Kalut
semacam je.” Tanya Ahmad Syazrul.
“Papa aku ni baru call.
Hari tu dia cakap 3 bulan sahaja kat sana. Sekarang ni extend ke 10 bulan pulak.”
“Dah tu kenapa pulak kau panggil kiteorang. Kau sepatutnya sambung kontrak dengan nurse
yang jaga adik kau tu.”
“Hah, yang itulah masalahnya.” Balas Aqeed kalut.
“Saya pun tak faham ni boss.
Apa kaitan pula dengan saya? Boss
nak suruh saya yang jaga ke?”
“BOleh, kalau awak sanggup.
Saya sanggup bayar gaji berapa sahaja awak nak.” Balas Aqeed serius.
“Eh, boss ni! Biar
betul. Saya tengah pregnant ni
boss. Macam manalah saya nak jaga adik
boss tu. Silap-silap dia yang jaga saya
nanti.”
“Tak. Ni sebenarnya masalah kau apa? Nurse yang jaga adik kau sekarang tu
kenapa?” tanya Syazrul yang masih tak
faham.
“Dia memang dah beritahu yang dia tak boleh sambung
kontrak. Bulan lepas lagi dia dah
beritahu, habis jek kontrak ni dia nak pindah Sabah ikut suami dia.” Jelas Aqeed.
“Ada sebulan lagi.
Sempat lagi kalau kau nak cari nurse baru.” Kata Syazrul.
“Memanglah ada masa lagi.
Dalam masa sebulan ni aku nak dia tengoklah kak Leen jaga adik aku macam
mana.” Terang Aqeed.
“Aleesha ada sebab kenapa saya panggil awak masuk ni. Awak ingat kan masa nenek saya masuk hospital
6 bulan lepas. Awak cakap awak ada kawan
nurse kan kat situ?”
“Ye, memang saya ada kawan kat situ. Boss nak hired dia ke?”
“Tak, minta tolong dia carikan nurse yang jaga nenek saya
tu. Nenek saya tu dia punya cerewet,
takda siapa boleh tahan. Tapi, nurse
yang jaga dia tu ‘ajaib’ tau. Nenek saya
siap request, taknak nurse lain. Dia
keluar dari hospital dia asyik puji jek nurse tu. Kalau nenek saya yang cerewet tu dia boleh
handle, mesti adik saya dia boleh jaga dengan baik.”
“Boss tahu tak nama dia?”
tanya Aleesha.
“Saya tak tahu lah pulak.
In fact, jumpa pun tak pernah.
Selalu dengar cerita pasal dia jek dari nenek.” Jawab Aqeed.
“ISh, boss ni!
Nantilah saya cuba tanyakan kawan saya tu. Katakanlah saya dapat jumpa dengan nurse tu,
apa offer boss?”
“Saya akan bayar gaji dia dua kali ganda dari apa yang dia
dapat sekarang. Kontrak kerja 10 bulan.”
Jawab Aqeed yakin. Orang kaya kan,
setakat 7-8 ribu sebulan, celah gigi sahaja.
sempat pula Aleesha mengata dalam hati.
Bagus juga offer ni. Bagi kat
Areeana jek pun okey juga. Dia kan nak
kumpul duit untuk tebus balik tanah mak dia tu.
Tapi, kalau dia amik offer ni, dia kena berhenti kerja. Dia nak ke?
Lagi satu, dia bawa mak dia ke KL ni supaya dia boleh jumpa mak dia
hari-hari.
“Tapi, boss. Adik
boss bukan cerewet sangat pun. Nurse
lain pun okey kot.”
“Dia tu bukan cerewet.
Tapi, kuat emo.” Celah Syazrul.
“Aku Cuma nak yang terbaik untuk dia. Please, Sha.
Minta tolong kawan awak yer. Takper
kalau dia rasa tak cukup gaji tu, saya akan bayar lebih. Saya akan bayar pampasan kalau dia terpaksa
berhenti kerja.”
“Kalau dah 10 bulan cuti, memang confirm kena berhenti
kerjalah.” Bicara Aleesha dalam hati.
MALAM ITU..
“6 bulan tu. Dah
lama. Siapa nama nenek dia? Kot lah aku ingat ke? Kalau kau dah kata pesakit cerewet ni, mesti
popular.”
“Alamak! Aku lupa
tanyalah. Aku pernah jumpa dia sekali
jek kot. Tupun masa tolong hantar dato’
Hazreeq pergi hospital melawat mak dia
tu. Tu yang aku terserempak dengan kau
kat surau tu.”
“Apalah kau ni. Macam
ni, kau tanya boss kau betul-betul. Nama
penuh, masuk wad pasal apa. Duduk situ
berapa lama. Nanti aku cubalah tolong
apa yang patut.”
“Yelah jap lagi aku mesej dia. Kalau ikutkan aku nak offer kat kau jek. Gaji lumayan tau. 2x ganda dari gaji kau sekarang. Tapi, tulah, nanti kau kena berhenti kerja
pulak. Dia pun ada cakap nak bayar
pampasan kalau nurse tu terpaksa berhenti kerja. Dia punya beriya nakkan nurse tu, silap
haribulan minta 10ribu sebulan pun dia sanggup.
Duit banyak sangat tak tahu nak buat apa.”
“Hamboi kau! Sempat
lagi kau yer.” Pintas Areeana. Aleesha ketawa.
“Aku shift malam ni.
Kau dapatkan info yang aku perlukan tu.
Esok sebelum balik aku check kan untuk kau. Esok pagi kau jemput aku kat hospital. Aku terus pas kat kau. Aku tak bawa kereta
hari ni. Aku naik teksi.”
“Okey, cantik. Lepas tu kita pergi sarapan sama-sama kat
Restoran Farhana tu. Dah lama tak pekena
nasi lemak yang sedap tu.” Aleesha
setuju dengan permintaan Areeana.
“Ish mak yong ni.
Ingat makan je kerja dia.”
“Dah, pergi sambung kerja.
Ada pesakit nak makan ubat tu.
Aku nak tidur.”
“Jangan tidur dulu.
Mesej boss kau dulu.” Pesan
Areeana.
ESOK PAGINYA.
Dan ketawa berdekah-dekahlah dua sahabat baik itu. Nak kata dah nyanyuk tak juga. Kes dah 6 bulan kot. Ramai je pesakit-pesakit yang dia layan. Layanan yang sama, tiada yang istimewa. Namun tidak bagi nenek boss Aleesha. Datin Marianah Osman, nama nenek Aqeed
Mazreeq. Dan jururawat yang dicari
sebenarnya memang Areeana.
“Kenapa aku tak jumpa kau masa kau datang melawat tu?” Areeana hairan.
“Kau ingat tak, kita terjumpa kat surau. Masa aku datang tu, nurse tu pergi solat kata
datin Marianah tu.” Jelas Aleesha.
“So memang terkabul lah doa aku. Kalau ikutkan aku nak offer jek terus kat kau
tanpa cari nurse ‘ajaib’ yang boss aku cakap tu. Tapi mengingatkan nenek yang cerewet tu,
kesian pulak kat kau nanti.”
“Adik boss kau tu cerewet sangat ke sampai kan perlu cari
nurse ajaib?” Areeana hairan.
“Boss aku tu yang cerewet.
Kalau boleh nak cari nurse yang terbaik untuk adik dia. Nurse yang ada
sekarang ni pun adalah nurse yang ke berapa puluh agaknya dia interview. Kau ni jek yang dia tercari-cari sebab dia
rasa kau ‘ajaib’.” Cerita Aleesha.
“Hmmm tulah. Aku pun
pelik apa yang ajaib aku ni.” Areeana
mengetuk-ngetuk dagu dengan jarinya.
Mereka berpandangan. Ketawa.
“Kau rasa patut ke aku ambil offer ni?” Areeana meminta pandangan.
“Kira okeylah tu. Dia
pun suruh kau kerja office hour kan.
Datang pukul 08:00 pagi balik 05:00 petang. Kerja pun cuma 5 hari seminggu. Kau Cuma perlu teman adik dia jek. Pastikan dia makan ubat, dan teman dia kalau
dia nak kemana-mana. Ada pemandu. Tak susah kau nak drive.”
“Cuma aku fikirkan, lepas 10 bulan tu mesti aku takder
kerja.” Areeana menyuarakan
kebimbangannya.
“Dato’ Hazreeq kan ada.
Pandai-pandailah dia kawtim dengan boss kau nanti.”
“Pandai jek kau ye.”
Areeana mencebik. Dan mereka berdua
ketawa lagi.
Dua sahabat ini memang tak boleh bertemu. Ada sahaja yang nak dibicarakan. Perkara yang remeh boleh menjadi hal besar,
bila mereka bersembang. Aleesha macam
terlupa pula yang dia perlu masuk ke pejabat.
Semalam lagi dia dah beritahu boss yang dia akan masuk lewat. Atas
alasan nak jumpa nurse yang boss dia nak sangat jumpa tu. Bila Ahmad Syazrul call, barulah teringat nak
masuk office. Pantang diberi peluang,
mulalah nak lupa diri.
Walau apapun, Areeana akan berbincang dengan mak Ija terlebih
dahulu. Dia tetap mahukan pandangan dari
orang kesayangannya itu. Mak Ija tak
banyak cakap. Dia hanya akan cakap,
‘suka hati kau. Kau dah besar.
Pandai-pandai fikir sendiri.’
Itupun dah cukup menunjukkan tanda dia tidak membantah. Kalau dia rasa perkara dia tidak persetujui, dia hanya menjeling dan
cakap ‘kalau tak buat boleh mati ke?’
haaah…itu ayat tidak setuju dia.
Dah lebih 20 tahun dah hidup dengan Mak Ija, Areeana dah masak sangat
lah.
DAH MASUK 3 BULAN Areeana bertugas di rumah Dato’ Hazreeq.
Belum sekalipun dia dapat bertemu dengan Aqeed Mazreeq. Segala urusan tugasan barunya ini, Aleesha
dan Zaleena, jururawat yang merawat adik Aqeed sebelum ini. Tepat 08:00 pagi dia akan sampai, dan waktu
itu Aqeed dah pun ke tempat kerja. Dan pukul
5 dia balik, Aqeed masih belum pulang dari pejabat. Ada takde pun mereka hanya berbalas
whatssap.
Ahmad Syazrul selalu pulang makan tengahari. Dia tu anak kepada tukang masak di rumah
itu. Mak Ikin. Ayahnya pula adalah
pemandu peribadi Dato’ Hazreeq. Berkawan dengan Aqeed Mazreeq sejak kecil
lagi. bersahabat baik walaupun berusia
beza dua tahun. Orang selalu cakap
mereka ‘kembar’. Samalah macam Areeana
dan Aleesha. Macam kembar. Selalu sangat berkepit ke hulu ke hilir. Cuma dia tak minat nak jaga orang sakit, tapi
dia tetap akan tolong jika diperlukan.
Orang selalu cakap dia patut jadi nurse macam Areeana, namun itu bukan
pilihan kerjayanya.
“Cantik orangnya.
Pandai masak pulak tu.” Puji Ahmad Syazrul.
“Seriuslah?”
“Seriuslah. Betullah
kau cakap dia memang ajaib. Kau tau tak,
dia berjaya bawa adik kau kedapur. Lauk
hari ni, diorang yang masak.
Klentang-klentung berdua kat dapur.
Mak aku tolong cuci pinggan lepas makan jek.” Cerita Ahmad Syazrul ceria.
“Alah, kau ni bukan boleh percaya sangat. Kau saja je nak suruh aku pergi tengok nurse tu
kan?” Aqeed masih kurang percaya.
“Kau tak percaya sudah.
Aku tak nafikan. Nurse tu memang
ajaib. Adik kau yang sebelum ni nampak
macam putus asa dah nampak 100% berubah.
Kau tahu tak yang adik kau dah buat satu blog. Adik kau tu sebenarnya berbakat tau jadi
seorang penulis. Dia cakap dengan aku
jugak yang dia nak terbitkan buku. Kau
tengok sahajalah, dalam masa 3 bulan sahaja nurse tu dah berjaya ubah persepsi
dia pada diri dia sendiri. Sebelum ni
dia kurang bersemangat. Suka duduk dalam
bilik. Tengok tv pun dalam bilik. Makan pun mak aku hantar kebilik. Sekarang ni, mak aku cakap dia akan makan
bersama-sama kat meja makan.” Cerita
Ahmad Syazrul lagi.
3 tahun lalu Ayra Shafia disahkan menghidapi kanser. Dia seakan putus asa dengan hidupnya. Tak mahu lakukan apa-apa kecuali menunggu
mati. Puas dinasihatkan, dia tetap macam
tu. Ahli keluarganya tak putus memberi
semangat. Namun dia tetap macam tu. Rawatan demi rawatan dilalui. Dia redakan sahaja. Suka menyendiri. Tak suka bergaul dengan orang luar. Sebelum Zaleena ada 5-6 orang jururawat yang
menjaganya. Takde seorangpun yang nak
sambung kontrak selepas 3 bulan. Zaleena
yang paling lama setakat ini. 10 bulan dah.
Sebab itu Aqeed begitu berhati-hati memilih jururawat untuk adiknya. Lebih-lebih lagi semasa papa, mama dan
neneknya tiada di rumah. Hanya harapkan
2 orang pembantu rumahnya sahaja.
Aqeed benar-benar teruja apabila adiknya menyuarakan hasrat
nak sambung belajar. Walaupun luar
kampus, ini ada satu kemajuan. Adiknya
dah taknak lagi duduk di takuk lama.
Betullah apa yang Ahmad Syazrul cakap.
Adiknya dah berubah 100%. Dah
rajin nak bersembang. Bila sebut sahaja
nama Areeana dia tersenyum. Ye, aku
mesti jumpa nurse ajaib ni. Dengar nama
sahaja aku dah rasa dia istimewa.
Kenapalah Aleesha tak kenalkan pada aku awal-awal lagi. Kalau tidak, mesti kami dah berkepak sekarang
ni. Aqeed tersenyum sendiri. Dalam masa
3 bulan sahaja adik aku dah jadi orang lain. Kau memang ajaib Areeana.
BERIYA-IYA Aqeed balik makan tengahari itu. Alasan nak balik rumah kononnya ada dokumen
tertinggal. Taknak diperli Ahmad Syazrul.
Tiba sahaja di karangan rumah, ada sebuah kereta Axia berwarna biru. Ini mesti kereta nurse ajaib tu. Aqeed tersenyum. Tak sabar nak jumpa Areeana. Dengan lagak macho dia keluar dari
keretanya. Mak Ikin yang ada di ruang
tamu menyusun atur hiasan meja sedikit hairan.
Selalunya tak pernah dia balik tengahari. Kalau ada barang yang tertinggal mesti ada
staff yang datang ambil. Kalau Ahmad
Syazrul memang tak hairanlah. Hampir
setiap hari dia balik. Lebih-lebih lagi
sejak Areeana bekerja di sini.
“Mereka keluar. Ayra
tu teringin sangat nak makan asam pedas ayam mak Areeana. Diorang ke rumah Areeana.” Jawab Mak Ikin bila Aqeed bertanyakan tentang
adiknya. Dan dalam masa yang sama, nak jumpa Areeana.
“Hahaha. Melepas.”
Ahmad Syazrul dah ketawakan sahabatnya itu.
“Kereta siapa kat luar tu?”
Aqeed sengaja beralih topik.
“Kereta Areeana. Dia
pergi tadi Pak Usup yang hantar. Nanti
diorang dah sudah nanti, pak Usup pergi jemput.”
AYRA SHAFIA teruja apabila Mak Ija izinkan dia tolong sama
di dapur. Dapatlah belajar cara masak
asam pedas yang sedap. Mak Ija tu nampak
macam garang, tapi dia tak kedekut ilmu pun.
Dia kongsikan juga cara nak masak asam pedas ikan pari. Nak basuh ikan pari macam mana. Yelah, kalau silap cara ikan jadi hanyir. Areeana pun tersenyum gembira. Jarang-jarang maknya nak terima sebarang
tetamu. Ingatkan nak kena pujuk, tapi
mak Ija tak banyak cakap bila Areeana beritahu yang Ayra nak datang.
“Abang call. Dia
tanya kenapa tak balik rumah lagi.”
“Eh, ya tak yalah.
Dah dekat maghrib dah ni. Kita
solat dulu. Lepas tu kita call pak
Usup.” Leka sangat sampai tak sedar dah
lama sangat mereka di rumah Areeana.
Malam itu Aqeed sendiri yang datang menjemput adiknya
berpandukan arahan yang diberikan oleh pak Usup. Aqeed dah nekad yang dia perlu jumpa hari
ini, maknanya hari ini jugalah dia akan jumpa Areeana, nurse ajaib. Sebaik sahaja sampai di depan rumah Areeana,
dia call adiknya itu. Bertambah teruja
melihat adiknya melangkah laju keluar dari rumah. Tersenyum sebaik melihat abangnya.
“Kak Na tak ikutlah ya.
Kereta tinggal jelah kat sana.
Nanti esok kak Na minta kak Cha hantarkan.”
“Okey.” Balas
Ayra. Dan saat itu dapat dilihat dengan
jelas Aqeed terpaku seketika melihat keindahan ciptaan Allah di hadapannya itu.
“Abang jom!” ajak
Ayra. Diam.
“Abang.” Panggil Ayra
sekali lagi.
“eer…takpe, esok saya suruh pak Usup datang. Awak tunggu je kat rumah.”
“Takpelah.
Menyusahkan je nanti.” Areeana
menolak baik pelawaan itu.
“I insist. Please. Awak tunggu je kat rumah esok yer.” Pinta Aqeed bersungguh.
“Takpe. Kalau pak Usup rasa susah, saya sendiri yang akan
jemput awak. Awak tunggu yer.” Tambah Aqeed yakin. Tersenyum.
Tersenyum. Sepanjang
jalan Aqeed tersenyum. Hadir satu
perasaan yang tidak dapat digambarkan macam mana. Senyumannya, suaranya, terngiang-ngiang. Pandangannya sering beralih, tak mahu
bertentang mata. Ish, nakal juga aku
ni. Dia nampak tersipu malu bila aku asyik
memandang ke arahnya. Mujurlah dengar
suara si ibu berdehem. Kalau tidak mahu
lupa diri.
“Siapa tadi tu?”
Tanya Mak Ija.
“Yang tadi tu. Itulah
abang Ayra. Encik Aqeed. Dia yang ambil
Na kerja. Tak pernah jumpa. Baru hari ni first time jumpa. Sebelum ni berurusan dengan Cha jek. Kalau dengan dia biasanya whatssapp
jek.” Jelas Areeana.
“Jangan main mata sangat.
Jatuh cinta nanti.” Mak Ija memberi peringatan.
“Ish mak ni. Ke situ pulak. Ni mengusik ke marah ni?” balas Areeana sambil tertawa kecil.
“Ingatkan pesan aku?”
Mak Ija cuba mengingatkan semula.
“Ya Na ingat. Jangan
risau. Na takkan jatuh cinta dengan anak
boss.” Ungkit Areeana.
“Tapi kan mak, dia tu bukan anak boss. Dialah boss. Sebab dia yang bayar gaji
Na.” Areeana angkat kening. Mak Ija menjengil mata. Areeana ketawa. Dia cium pipi ibunya dan berlari ke biliknya
sebelum mendengar Mak Ija membebel.
TERUJA Dato’ Hazreeq mendengar berita itu. Jadi tak sabar pula nak balik Malaysia. Dah 3 tahun Ayra sakit. Dia tak sangka kehadiran ‘nurse ajaib’ yang
Aqeed khabarkan itu telah mengubah dir Ayra 100%. Dalam masa 6 bulan pelbagai pembaharuan dalam
hidup anaknya itu. Sudah mula mengikuti
pengajian secara online dan luar kampus.
Dalam masa yang sama sedang menghasilkan sebuah novel. Dia juga mula menulis sebuah buku
motivasi. Hasil galakan ‘nurse ajaib’
itu. Dan lebih memeranjatkan, Ayra sudah
kembali berani memandu sendiri. Satu
keberanian yang tak boleh dibeli.
“Papa saya kirim salam.
Dengar je Ayra dah start memandu semula.
Teruja betul mama dan papa. Tak
sabar diorang nak balik Malaysia. Bukan
sahaja tak sabar nak tengok Ayra, tapi tak sabar nak berkenalan dengan awak.”
“Waalaikumussalam wbt.”
Jawab Areeana ringkas.
“Ayra tu sebenarnya perlukan kata-kata semangat dan sokongan
orang kelilingnya. Mula-mula tu memang
susah. Yang penting kita jangan putus
asa dengan dia. Kalau kita putus asa,
diapun akan buat perkara yang sama.”
Sambung Areeana.
“Itulah. Kami dah
rugikan masa selama 3 tahun ni. Ikut
sahaja kehendak dia, tanpa memikirkan apa yang terbaik untuk dia. Layankan kesedihan dia tanpa memikirkan apa
yang perlu kami lakukan untuk dia.”
“Kalau macam tu saya dah boleh berhenti kerja awal.”
“Eh, janganlah. Nanti
kalau saya rindu macam mana?”
“Hah!” Areeana pura-pura
tak dengar. Aqeed hanya menggeleng
kepala, kononnya takde apa-apa.
“Okey, dah sampai pun rumah saya. Terima kasih sebab hantar dan ambil saya dua
minggu ni. Kereta dah okey. Suami Aleesha dah hantar ke rumah petang
tadi. So, encik Aqeed atau pak Usop tak
payahlah jemput dan hantar saya.”
“Saya okey jek hantar dan jemput awak setiap hari.”
“Encik Aqeed okey.
Saya yang tak okey. Tunggu encik
Aqeed balik kerja lambat. Balik lambat-lambat
kesian kat mak saya sorang-sorang kat rumah.”
Areeana memberi alasan. Aqeed
tersengeh. Memang salah dia pun kalau
Areeana terpaksa balik lambat. Pak Usup
nak hantar dia tak bagi. Ahmad Syazrul
nak hantar, jealous. Memang cemburu
pun. Kalau dengan Syazrul tu bukan main
lagi panggil abang. Kalau dengan aku berencik-encik.
“Kau tu boss. Aku ni
anak orang gaji ke kat rumah tu. Okeylah
tu, dia panggil kau encik dan panggil aku abang.” Itu alasan Ahmad Syazrul bila Aqeed ungkit
hal itu.
HARI SABTU biasanya Areeana menghabiskan masa di rumah
menemani Mak Ija. Masa itulah mereka
akan sama-sama ke pasar membeli lauk untuk seminggu. Kalau baru lepas gaji dia akan bawa Mak Ija
membeli kehendaknya. Mak Ija bising
mulutnya membebel kalau Areeana belikan pakaian baru untuknya. Katanya duduk kat rumah sahaja, pakai t.shirt
dengan kain batik sahaja dah cukup.
Sedang sibuk memilih ikan-ikan segar, terserempak pula dengan Mak Ikin
dan anaknya.
“Ini mak saya.”
Areeana memperkenalkan Mak Ija pada Mak Ikin.
“Jumpa pun kita. Na
ni selalu share resepi mak dia. Katanya
sedap hingga menjilat jari.” Puji Mak
Ikin.
“Na ni memang, kalau bab ‘melambung’ tinggi saya memang no
satu. Padahal, saya ni biasa-biasa
sahaja orangnya. Masakpun, masakan
kampung jek. Berpuluh tahun duduk
kampung, diheret pulak duduk bandar ni.” Balas Mak Ija ramah. Ramah pulak mak aku ni. Selalunya susah nak dengar dia
bersembang. Ada tak adepun, biasanya dia
senyum sahaja.
“Eh, saya teringinlah nak cuba buat bubur pucuk paku tu. Macam mana yer buatnya? Apa bahan-bahannya? Jom kita cari.” Mak Ikin terus memaut lengan Mak Ija dan dua
insan itu jalan berdua. Tinggallah
Areeana dan Ahmad Syazrul yang terpinga-pinga.
“Hmm, macam bagi peluang pula kita berdua-duaan ya.” Usik Ahmad Syazrul.
“Rajin abang Mad ikut Mak Ikin pergi pasar yer. Bukan selalunya dengan pak Usup ke?”
“Ayah sibuk sikit hari ni.
Banyak tempat dia nak pergi temankan Aqeed. Lagipun mungkin dah jodoh kot kita terjumpa
hari ni.” Jawab Ahmad Syazrul.
“Jomlah bang Mad.
Hilang pulak mak-mak kita tu nanti.”
Areeana segera mengajak Ahmad Syazrul bergerak dari situ. Malulah tu diusik macam tu.
Selesai urusan di pasar mereka singgah pula di
restoran. Sementara Mak Ikin dan Mak Ija
sibuk bersembang, Ahmad Syazrul dan Areeana menghantar barang ke kereta. Dalam kereta Areeana memang dah ada bekas
khas untuk menyimpan barang basah.
Memandangkan Mak Ija dan Mak Ikin mungkin lama lagi bersembang, Ahmad
Syazrul tumpeng bahan-bahan basah di kereta Areeana.
“Seronok tengok mereka bersembang. Lebih-lebih lagi mak saya tu. Kalau Mak Ikin tu saya dah kenal sangat
peramahnya dia tu. Mak saya tu kurang tau nak bersembang dengan orang. Tapi, dengan Mak Ikin macam kawan lama.” Areeana tersenyum gembira. Suka melihat mak Ija hari ni.
“Dah lama ke Mak Ija ikut Na pindah sini?”
“Hampir setahun juga.
Dua bulan sebelum saya kerja dengan encik Aqeed.” Jawab Areeana.
“Habis kontrak dengan encik Aqeed, cukuplah genap setahun
mak saya kat KL ni.” Tambah Areeana.
“Saya nampak awak ni sayang sangat kat mak awak.” Puji Ahmad
Syazrul.
“Mestilah. Dia kan mak
saya. Walaupun bukan dia yang melahirkan
saya, tapi dialah yang membesarkan saya.”
“Mak angkat ke?”
tanya Ahmad Syazrul berminat nak tahu.
“Arwah ibu dengan mak saya tu best friend. Ibu meninggal masa saya umur 5 tahun. Lepas
ibu meninggal, ayah saya kahwin dengan mak saya. Umur saya 8 tahun ayah pula meninggal
dunia. Dan mak yang jaga saya sampai
sekarang. So, bila saya dah besar ni,
saya lah pulak yang jaga dia.” Cerita
Areeana tanpa selindung. Dia selesa
berbual hal peribadi dengan Ahmad Syazrul.
Dia sendiripun kagum dengan sikap Ahmad Syazrul yang sangat menghormati
orang tuanya.
ALEESHA pernah juga tanya antara dua pemuda ini yang mana
satu jadi pilihan. Aleesha cadangkan
pilih sahaja Aqeed Mazreeq. Senang hidup
nanti. Orang kaya dan berduitkan. Itu kalau pentingkan kesenangan. Tapi, Areeana akui dia lebih berminat dengan
Ahmad Syazrul. Sebab dia lebih selesa
berbual dengan Ahmad Syazrul berbanding Aqeed.
Mungkin kerana Aqeed itu adalah majikannya. Dan dia sendiri terikat dengan janjinya yang
takkan jatuh cinta dengan anak majikan seperti yang selalu emaknya ingatkan.
“Mereka tu memang rapat. Kenal dari kecik. Macam kita jugalah, macam kembar. Tapi, encik Ahmad Syazrul ni lebih bersikap
abang-abang. Dan banyak mengalah dengan
encik Aqeed. Walaupun mereka rapat,
encik Ahmad still respect dia sebagai anak boss. Kalaulah dua-dua tu rebutkan kau, mesti abang
Mad kau tu mengalah.” Kata-kata Aleesha
terngiang-ngiang di telinganya. Tak usah
perasanlah Areeana. Abang Mad tu anggap
kau macam adik jek. Dan encik Aqeed tu tak mungkinlah dia nak pandang aku anak
kampung ni. Mama dan papa dia pun belum
tentu terima aku. Macam kata mak,
‘mereka mungkin boleh terima kau sebagai pekerja, tapi belum tentu dia terima
kau sebagai keluarga’. Hmm, cara mak
cakap ni macam dia ada pengalaman je.
Ada sesuatu yang aku tak tahu?
“Abang tu baik tau.
Kak Na tak berkenan ke?” soalan
yang pernah diajukan padanya oleh Ayra.
“Berkenan buat kawan okeylah.” Jawab Areeana.
“Abang tu pun macam ada hati kat akak je. Jadilah kak.
Mesti best kalau akak jadi kakak ipar Ayra.”
“Dia kan boss akak.”
“Tak salah kan kalau berjodoh dengan boss sendiri?” bangkit Ayra.
“Akak tak fikirlah sayang pasal jodoh-jodoh ni. Akak nak selesaikan urusan keluarga
dulu.” Balas Areeana.
“Ayra dah up kan nama akak kat mama dan papa. Mesti diorang pun berkenan nak buat menantu.”
“Pandai je Ayra ni kan.
Sebelum mama dan papa Ayra balik, kontrak kerja akak dah habis pun. Tak sempat nak berkenalan pun.”
“Eh, akak tak tahu ke?
Diorang balik awal sebulan. Mesti
mama dan papa nak sambung kontrak akak Kak Na mesti setuju tau. Mama dan papa cakap akak boleh kerja sampai
akak dapat kerja lain.”
“Ish seganlah akak.
Ayra kan dah okey. Dah boleh
berdikari sendiri. Dah tak perlukan akak
lagi.” balas Areeana.
“NO. I still need
you. Please.” Pinta Ayra.
“We’ll see.”
Aish! Fikir-fikir
balik, betul juga kata Aleesha. Keluarga
ni dah banyak sangat duit sampai tak tahu agaknya duit tu nak buat apa. Senang-senang sahaja gajikan aku yang hanya
jadi teman merangkap ‘nurse ajaib’ untuk Ayra.
Gaji bukan sikit-sikit. Aleesha
cakap, silap-silap gaji Menteri pun tak macam ni. Hahaha…beriya sahaja kan
Aleesha tu. Dah rezeki aku kan. Memang kebetulan perlukan duit yang
banyak. Tapi, tak sangka pula dalam masa
terdekat ini. Sikit sahaja lagi. Biarpun mak tak pernah ungkit pasal tanah tu,
aku nak juga tebus tanah tu.
Telefon berbunyi.
Satu panggilan suara dari ‘Mak’.
Areeana berkerut dahi. Eh, tak
pernah-pernah mak call. Selalunya aku
yang akan call dia. Areeana segera
menjawab panggilan itu. Ya, Allah.
Mak! Areeana meminta izin untuk balik
segera. Ayra nak ikut sama. Mereka
segera balik ke rumah. Areeana terkejut
mak Ija terbaring di atas lantai ruang tamu.
Di tangannya tergenggam handphone.
Areeana tak dapat dengar dengan jelas apa yang cuba mak Ija cakap tadi,
namun dia dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena.
Areeana tidak tentu arah jadinya. Aleesha tiba di hospital. Dia cuba memujuk hati sahabatnya yang runsing
itu. Selama lebih 20 tahun ni, tak
pernah sekalipun Areeana nampak mak nya sakit.
Orang tua itu sentiasa bertenaga sejak muda lagi. Tak pernah mengadu pening atau sakit perut. Ya, Allah kenapa ni? Risau betul dibuatnya.
“Apalah yang mak runsingkan?
Doktor cakap mak kurang makan dan banyak sangat berfikir. Sebab tu mak kena migrain sampai pitam dan
pengsan.” Luah Areeana sedih.
“Sabarlah. Cuba kau
tanya dia elok-elok bila dia dah okey nanti.”
“Aku tak pernah tengok dia sakit. Aku tahu kalau dia sakit pun dia memang
takkan tunjuk. Tapi, dia sampai call
aku, ini mesti sakit sangat.” Menitis
airmata Areeana yang terlalu risau keadaan maknya.
“Akak sabar yer. Ayra
balik dulu. Akak cuti sahajalah seminggu
ni yer. Takper, abang ada. Mak Ikin pun ada. Abang dah tunggu Ayra kat bawah. Apa-apa hal akak call yer.”
“Terima kasih Ayra.”
Ucap Areeana.
SEBULAN KEMUDIAN.
Mak Ija mematikan handphone sebaik perbualannya dengan
Areeana tamat. Mengomel sendirian. Di hujungnya terbit juga sedikit
senyuman. Selang sejam Areeana akan call
tanyakan keadaannya. Tiba waktu makan
dia siap setkan alarm. Tak cukup dengan
itu, dia akan call untuk mengingatkan.
Risau betul Areeana. Mak Ija
berfikir. Mungkin ini waktu yang
sepatutnya untuk dia lepaskan Areeana dari tanggungjawabnya menjaga aku. Dia sibuk bekerja, dalam masa yang sama
sibukkan aku. Kalau dia dah tak perlu
pedulikan aku lagi, tidaklah dia bersusah payah begini.
Dato’ Hazreeq, datin Nazeera dan datin Marianah sudah pulang
ke Malaysia. Memang awal dari yang
dijadualkan. Urusan di Australia
berakhir dengan selamat. Dan rawatan
datin Marianah pun selesai awal dari yang sepatutnya. Mereka teruja nak lihat perubahan Ayra. Tak sabar nak berkenalan dengan ‘nurse
ajaib’, Areeana.
“Alhamdulillah.
Terima kasih banyak-banyak Areeana.
Dah banyak perubahan yang awak dah buat pada Ayra. Senang hati kami.” Ucap datin Nazeera terharu. Ayra hanya tersenyum dalam rangkulan
mamanya. Ayra dah sedar bahawa hidup ini
perlu diteruskan walau apa jua keadaan.
Perlu yakin dengan Allah. Sangka
baik dengan Allah. Allah turunkan ujian
bersama hihmahnya.
“Tak ada apa datin. Saya cuma jalankan tugas saya
sahaja. Semangat Ayra yang kuat.”
“Seronok mama dengan kak Na ni. Banyak yang Ayra belajar. Belajar masak pun ada tau. Lauk kat dapur hari ni, kami yang masak
tau.” Celah Ayra.
“Areeana makan sekali ye?”
pelawa datin Nazeera.
“Minta maaf datin.
Saya dah kena balik ni. Dah janji
nak bawa mak keluar makan. Hari ni
birthday dia.” Areeana menolak baik
pelawaan datin Nazeera.
“Senang-senang bawa mak datang makan kat sini ye.” Datin Marianah bersuara.
“Insha Allah datin.”
Tersenyum wanita tua itu.
“Eh tak payah berdatin dengan nenek. Suami nenek pun dah lama takde, dah tak valid
dah datin tu.” Balas datin
Marianah. Seisi rumah ketawa. Memang susah nak dengar nenek bersenda. Dengan Areeana ni lain pula. ‘Nurse ajaib’ kan…..
BUKAN senang nak ajak mak keluar. Ada sahaja alasan dia. Kali ini dia ikutkan sahaja kehendak
Areeana. Mak Ija terharu dengan layanan
mesra itu. Areeana tak pernah berdendam
langsung dengan apa yang Mak Ija pernah buat padanya. Hakikatnya, selepas dia bantai Areeana
cukup-cukup pasal basikal tu, dia tak pernah lagi pukul Areeana. Areeana sendiripun telah berubah sikap. Daripada seorang budak yang nakal, malas
belajar jadi budak yang baik. Rajin
belajar. Namun egonya seorang Mak, dia
tak pernah minta maaf. Mungkin dah tiba
masanya aku turunkan ego aku. Luahkan
apa yang terbuku. Luahkan kata-kata
sayang.
“Sedap tak?”
“Hmm.” Jawab Mak Ija
ringkas. Kalau ‘hmmm’ tu maknanya
sedap. Kalau dia cakap ‘bolehlah’,
maknanya adalah yang tak kena tu. Dah
masak sangat dengan mak Ija ni.
“Dato’ dan datin dah balik tau mak. Mereka kirim salam. Nenek pun kirim salam. Mereka jemput mak
datang rumah.”
“Kau cakap lagi dua bulan.” Ungkit mak Ija.
“Tulah. Tiba-tiba
sahaja mereka call Ayra tadi, cakap mereka dah sampai airport. Sempat jugalah kami bersilat kat dapur tadi
masak lauk special untuk mereka. Ayra cakap papa dia suka sangat asam pedas
ayam. Tu yang dia beriya sangat nak
belajar dengan mak. Walhal boleh jek
belajar dengan Mak Ikin. Tapi, dia cakap
resepi mak lagi special sebab resepi orang Melaka. Mak Ikin orang KL.”
“Alah sama je.” Balas
Mak Ija.
“Eh, mana ada sama.
Resepi puan Siti Hajar aka Mak Ija kan istimewa. Dato’ Hazreeq pun terdiam sekejap tadi rasa
asam pedas tu tau.” Areeana memuji.
“Dato’ Hazreeq?”
“Dato’ Hazreeq. Papa
Ayra.” Jelas Areeana.
“Kalau kau rasa aku masak sedap sangat, kenapa bawa aku
makan kat kedai. Pergi beli lauk sahajalah. Biar aku masak. Dahlah kau sekarang ni bagi
aku masak seminggu sekali sahaja. Tupun
kena masak kalau kau ada kat rumah.
Kesian kat jiran tu, hari-hari kena hantar makanan.”
“Hari ni kan birthday mak. Mak kena relaxlah. Na tak
bagi mak masak sebab mak belum sihat sangat kan. Lagipun, Na bayar upahlah mak pada makcik
Huda tu. Dia kan memang hantar makan kat
restoran setiap hari. Tu singgah sekali
hantar untuk mak.”
“Tapi aku bosanlah kat rumah. Kau hantar aku balik kampung jelah. Ada juga benda aku nak buat. Tanam sayur ke, tanam bunga ke.”
“Okey, hujung minggu depan kita balik kampung.” Janji Areeana.
“Tak nak. Kalau boleh
aku nak duduk kampung je terus.”
“Alah mak. Janganlah macam ni. Tak pernah-pernah merungut
nak balik kampung. Tiba-tiba jek ni.”
“Aku rindu kampung.
Aku nak duduk lama kat kampung.”
Jawab Mak Ija.
“Esok kita pergi pasar ya.
Kita beli lauk seminggu. Mak
rindu nak masak kan? Na bagi mak
masak.” Areeana beralih topik. Mana mungkin dia nak hantar mak dia balik
kampung. Duduk kat kampung
sorang-sorang.
“Na, mak cakap betul-betul ni.” Kedengaran suara mak Ija seakan merayu. Areeana pula terkesima seketika. Selepas 28 tahun, baru hari ini Areeana
mendengar Mak Ija membahasakan dirinya ‘mak’. Rasa nak menangis pun ada.
“Okey. Lagi dua bulan
Na habis kontrak kerja dengan encik Aqeed.
Sementara Na belum dapat kerja, kita duduk kampung sebulan dua. Okey?
Lepas tu kita balik semula KL. Na
tak nak mak duduk sorang-sorang kat kampung.”
Areeana memujuk. Mak Ija diam sahaja.
RISAU pula memikirkan keadaan emaknya itu. Tak pernah-pernah
sakit, tiba-tiba sampai kena masuk wad.
Tak pernah-pernah buat muka sedih macam tu, tiba-tiba jadi sayu
memandangnya. Mak Ija tak pernah pun
meminta nak balik kampung sejak duduk di KL. Cuma dia suka bandingkan tinggal
di kampung lagi mudah dia nak dapatkan itu ini untuk masakannya. Namun tak pernah sekalipun dia minta dihantar
balik kampung. Nak terima ke tidak
tawaran dato’ Hazreeq ni yer? Dia bagi
aku cuti sebulan selepas tamat kontrak yang sekarang ni. Bersungguh sangat nak suruh aku jadi
jururawat peribadi kat rumah tu. Nak
jaga siapa? Ayra pun dah mampu berdikari
sendiri. Nak jaga nenek? Aku tengok nenek tu kuat jek lagi walaupun
umurnya dah hampir 80.
“Aku sekarang ni lebih risaukan mak aku daripada permintaan
dato’ Hazreeq tu.” Luah Areeana pada
sahabatnya, Aleesha.
“Itu permintaan dato’ Hazreeq atau permintaan encik Aqeed?”
“Itupun lagi satu masalah.
Aku dah cakap dengan dia yang aku anggap dia sebagai majikan je. Seboleh-boleh nak suruh papa dia masuk
meminang. Itu antara alasan yang kukuh
kenapa aku tak boleh nak tunaikan permintaan dato’ Hazreeq.”
“Honestly kau tak terima dia sebab mak kau atau…” Aleesha tidak meneruskan soalannya. Dia yakin Areeana faham maksud soalan yang
tergantung itu.
“Secara jujurnya tanpa prejudis, aku memang tak ada hati kat
dia. Yes, aku mengaku dia handsome,
kaya, baik, macho sama macam dalam wishlist aku, tapi aku tak ada perasaan lain
kecuali kawan.”
“Kau suka abang Mad kau tu kan?” teka Aleesha.
Areeana diam tanpa jawapan.
“Macam yang aku pernah cakap dengan kau. Mereka berdua tu rapat. Macam kembar.
Banyak perkara yang mereka sama-sama suka. Tapi, encik Syazrul ni tetap letak diri dia
di bawah. Kalau sesuatu yang mereka nak
tu ada satu, dia akan undur diri. Kau
faham maksud aku kan?”
“Aku malas nak fikir soal hati buat masa ni. Yang penting
sekarang ni mak aku. Aku lebih sanggup
tengok dia marah-marah dan membebel daripada tengok dia sedih. Kalau perlu
pindah semula ke kampung, aku akan pindah.
Rumah kat sini nanti tahulah aku nak buat apa nanti.” Nekad Areeana. Aleesha pula terdiam. Nekad betul ni.
Begitu jua lah nekadnya Aqeed yang dah tergila-gilakan
Areeana. Dia betul-betul tak boleh
terima kenyataan apabila Areeana hanya memilih untuk berkawan sahaja. Tak boleh terima bila Aleesha cakap Areeana
anggap dia sebagai majikan sahaja. Dan
dia hanya boleh terima Aqeed sebagai kawan sahaja. Kenapa?
Sebab dia pilih Ahmad Syazrul? Atau apa?
“Dia takkan mungkinlah nak jatuh cinta dengan encik Aqeed
tu. Sebab prinsip mak dia, ‘jangan jatuh
cinta dengan anak majikan’. Orang yang
boleh terima kita bekerja, belum tentu dia boleh terima kita sebagai keluarga.”
Antara isi perbualan Aleesha dan Ahmad Syazrul yang dia terdengar tanpa sengaja.
Areeana bukan tak suka aku.
Tapi, ini semua sebab mak dia.
Tak boleh jadi ni. Aku kena
yakinkan mak dia yang mama dan papa aku boleh terima dia. Nenek pun teruja bila aku cakap aku suka kat
‘nurse ajaib’ dia tu. Baik. Aku tahu apa nak buat.
“Kau yakin ke dengan keputusan kau ni?” tanya Ahmad Syazrul. Aqeed angguk yakin.
“Kau buat macam ni, kau rasa Areeana akan setuju ke?”
“Aku cuma nak papa dan mama yakinkan mak dia yang kami
sekeluarga boleh terima dia dalam keluarga kami.” Tegas Aqeed.
“Itu papa dan mama kau.
Nenek kau pula macam mana? Kau
dah tanya pendapat dia?”
“Nenek aku okeylah.
Dia yang paling happy bila aku beritahu pasal ni tau.” Cerita Aqeed teruja. Antara sebab kenapa dia susah sangat nak bawa
balik girlfriend kerana neneklah. Nenek
itu sangat cerewet orangnya.
“Areeana pulak macam mana?
Kau yakin diapun ada hati dengan kau?”
“Sejak pertama kali aku jumpa dia, aku dapat rasakan satu
perasaan yang luar biasa. Hari demi hari
aku rasa aku perlu dekat dengan dia. Aku
dapat rasakan satu perasaan yang tidak sama langsung dengan mana-mana perempuan
yang aku pernah kenal. She’s so
different.” Luah Aqeed tanpa menjawab soalan Ahmad Syazrul.
“Kita dah nak sampai ni.
Kau call dia. Beritahu yang kita
dah on the way ke rumah dia ni. Jangan
beritahu dulu yang mama dan papa ikut sekali.”
Arah Aqeed. Sekilas memandang
cermin pandang belakang. Kereta papa dan
mama mengekori mereka dari belakang.
“Kalau dia tak nak jawab macam mana?” Ahmad Syazrul
ragu-ragu.
“Tak mungkinlah dia tak jawab kalau abang Mad dia
telefon.” Bidas Aqeed. Hai, lain macam je nada suara tu. Cemburu ke?
Cemburu sebab Areeana lebih mesra dengan aku berbanding dia. Kami ni kan golongan bawahan jek. Mana setanding nak lawan orang-orang besar
macam kau.
Garu kepala Areeana dibuatnya. Ish, tak reti nak tunggu esok ke? Dan lewat
malam ni. Dah pukul 09:30 malam. Nanti apa pulak cakap mak. Kalau angin dia datang nak marah, aku juga
yang bermasalah. Walaupun mak dah lama
tak marah-marah, tapi tak mustahil kan kalau aku buat perangai tak betul. Terima tetamu lewat malam macam ni. Lelaki pulak tu. Memanglah dia boss aku, tapi dah lewat kot. Datang nak jumpa mak pula tu.
Aqeed Mazreeq ni memang tak faham Bahasa agaknya. Dah cakap banyak kali, dia masih tak faham
ke? Aku anggap dia tak lebih dari
seorang majikan. Tiba-tiba nak perasan
yang aku pun syok kat dia dah kenapa.
Tak ada kena-mengenapun dengan prinsip mak yang tak nak terima anak boss
jadi menantu. Mak mungkin ada sejarah
dia sendiri. Dan aku sendiri, kalau dah
jatuh cinta siapa yang mampu nak halang perasaan seseorang.
Mak tak cakap apa-apa.
Dia dengar sahaja apa yang Aqeed Mazreeq luahkan. Dia hanya memandang dengan wajah sayu. Takkan mak pun dah termakan pujuk rayu
dia. Mak, please. Na tak cinta kan dia. Na tak pernah ada perasaan apa-apa pun pada
dia. Bersungguh betul dia meyakinkan mak
yang aku akan diterima oleh seluruh keluarganya.
“Saya akan hantar keluarga saya datang merisik. Makcik
setuju tak?” bicara Aqeed Mazreeq bagai
meluruhkan jantung Areeana.
“Tak. Kau tak boleh
kahwin dengan Areeana.” Tegas Mak
Ija. Aqeed terkejut mendengar keputusan
itu. Namun dia tidak berputus asa.
“Kalau makcik masih tak yakin dengan saya. Mama dan papa
saya ada kat luar. Biar saya panggil mereka. Rul.”
Aqeed memberi isyarat pada Ahmad Syazrul.
“Mak nak masuk. Mak
nak masuk.” Mak Ija tak tentu arah dia
segera menarik-narik tangan Areeana agar membawa dia masuk. Areeana tidak membantah. Kenapa mak Ija seolah longlai dan lemah? Seolah tak berdaya berjalan sendiri.
“Assalamua’laikum.”
Suara dato’ Hazreeq memberi salam.
Mendengar suara itu, lantas Mak Ija menoleh.
Entah mengapakah. Hati
bergetar, jantung berdegup kencang.
Dato’ Hazreeq pun terkejut melihat siapa yang di hadapannya sekarang.
“Hajar!”
“Dato’ kenal mak saya?”
Areeana sendiripun terkejut.
Apatah lagi apabila dato’ Hazreeq menyebut nama sebenar mak.
“Na, bawa mak masuk bilik.
Mak nak masuk.” Hanya itu sahaja
yang Mak Ija cakapkan dari tadi.
“Hajar. Saya tahu awak marahkan saya. saya tahu antara kita ada kisah silam yang
hitam. Tapi, rasanya tak adil kita buat
anak-anak macam ni. Aqeed ni anak kita. Anak kandung awak sendiri. Tergamak awak nak hancurkan kebahagiaan dia?”
Kata-kata itu memang amat mengejutkan.
Jadi mak pernah kahwin lain sebelum kahwin dengan ayah. Areeana terdiam. Mungkin inilah yang mak rahsiakan dari aku
selama ini. Aqeed terkedu. Inikah wanita yang melahirkannya dan
membiarkannya?
“28 tahun Hajar. 28
tahun awak langsung tak pedulikan Aqeed.
Kenapa awak nak halang kebahagiaan anak kandung awak sendiri?”
“Sebab dia anak kandung akulah, dia tak boleh kahwin dengan
Areeana.”
“Kenapa tidak? Areeana
anak Faizal dan Fazlina kan?” bidas
dato’ Hazreeq.
“Mereka tak boleh kahwin Hazreeq. Mereka tak boleh kahwin.” Tegas Mak Ija.
“Tapi, kenapa?” Celah
Aqeed.
“Sebab kau berdua adik beradik. Kau berdua kembar.” Akhirnya rahsia 28 tahun itu terbongkar. Terkejut besar Areeana dibuatnya. Mak Ija terduduk. Areeana yang sedang memaut lengan ibunya
terpaku. Mak Ija memandang Areeana.
“Maafkan aku sebab tak pernah berterus terang selama
ini. Kau pernah tanyakan? Kenapa aku tak bagi kau jatuh cinta dengan
anak majikan. Sebab majikan boleh terima
kau sebagai pekerja, belum tentu boleh terima kau sebagai keluarga. Kerana, itulah yang terjadi dalam hidup
aku.” Luah Mak Ija. Yang lain terdiam.
“Habis sahaja SPM kami tiga sekawan merantau ke KL nak cari
kerja. Alhamdulillah, datin Marianah
terima kami bekerja di kilangnya. Dia
boss yang baik. Jaga kebajikan pekerja-pekerjanya. Aku yang tak sedar diri, jatuh cinta dengan
anak dia. Datin Marianah tak restu. Kami kahwin lari. Cinta maut kononnya. Tiga bulan sahaja dia dah tak sanggup hidup
susah. Kerja berat. Dia lari balik ke rumah mak dia. 6 bulan dia tinggalkan aku
tanpa khabar berita. Faizal dan Fazlina
yang jaga aku.” Airmata Mak Ija
mengalir. Laju. Dato’ Hazreeq terdiam. Memang betul.
Niatnya balik rumah mak dia nak minta restu. Nak pujuk datin Marianah agar dapat terima
jodohnya.
“Lepas 6 bulan, aku dapat surat dari peguam. Surat cerai.
Masa di mahkamah kau langsung tak pandang aku kan. Kau langsung tak peduli walaupun kau nampak masa
tu perut aku dah membesar. Kau percaya
dengan kata-kata yang itu bukan anak kau. Tapi aku tak faham macam mana
tiba-tiba kau mengaku pula yang dia anak kandung kita. Kau tahu tak yang aku
hampir bunuh diri kerana terlalu kecewa dengan kau yang pernah janji sehidup
semati dengan aku? Alhamdulillah, ada
Faizal dan Fazlina yang tak pernah putus asa dengan aku. Mereka janji, selepas aku bersalin kami akan
sama-sama balik kampung. Kejamnya datin
Marianah, dia hantar orang untuk rampas anak aku. Masa tu aku dah tak peduli dah. Kau nak ambil, ambillah. Bagi aku, anak itu lambang kebencian aku pada
kau. Tapi, Faizal dan Fazlina yang
mempertahankan anak aku. Puas mereka merayu.
Jangan ambil anak aku. Akhirnya,
orang datin setuju untuk ambil salah seorang sahaja, memandangkan datin pun tak
tahu yang aku lahirkan anak kembar. Cuma
dengan syarat, Areeana tidak boleh membesar sebagai anak kandung aku. Ianya mungkin membahayakan kalau datin tahu
hal ini. Kau baliklah. Kau tanyalah sendiri dengan pak Usup dan pak
Akob. Merekalah yang datang rampas anak
aku atas arahan datin Marianah.”
Tanpa sebarang bicara, Areeana menuju ke muka pintu. Dia membuat isyarat agar semua tetamunya
keluar daripada rumahnya. Bahasa halus
untuk menghalau mereka keluar dari rumah.
Dengan perasaan yang masih terkejut, dan juga rasa sangsi, kesemuanya
melangkah keluar dari rumah. Sebaik sahaja
semua keluar dari rumah. Mak Ija tidak
dapat lagi menahan airmatanya. Rasa
bersalah yang teramat sangat kerana tidak berterus terang dengan Areeana selama
ini. Berketar bibir nak mengeluarkan
kata-kata memohon maaf.
“Na, aku tahu. Saat
ni kau benci sangat kat aku kan? Aku
hampir buang kau. Aku luahkan marah aku
pada Hazreeq pada kau. Aku berusaha kau
bencikan aku. Aku cuba nak benci
kau. Aku banyak dosa pada kau.”
“Shhh…” Areeana
meletak jari telunjuknya ke bibir tua itu.
Meminta Mak Ija jangan berbicara apa-apa lagi.
“Seorang mak tak pernah berdosa pada anaknya. Mak memang tak pernah mengaku mak ni mak
kandung Na. Tapi, Na dah lama anggap mak
ni mak kandung Na. sekurang-kurangnya
doa Na dah dimakbulkan.” Kata-kata itu
benar-benar menyentuh naluri hati seorang wanita tua itu. Dia menangis semahu-mahunya.
“Dah-dah..tak mahu sedih-sedih. Jom kita kemas baju.”
“Kemas baju?” Mak Ija
tak faham.
“Kata nak balik kampung.
Kita balik kampung. Kat kampung
mak ceritakan semuanya Na. Na taknak mak
simpan apa-apa rahsia lagi.”
Na tak kerja ke esok?”
“Anggap saja lah yang ‘nurse ajaib’ mereka dah resign. Mereka tak bayar gaji bulan ni pun takpe.” Areeana tersenyum. Mak Ija tersenyum terharu. Ya, Allah terima kasih kurniakan anak sebaik
ini untukku. Namun aku tahu, dia
sebenarnya sedang menyembunyikan seribu rasa.
Maafkan mak nak. Mak sayang anak
mak.
“Jangan nangis lagi yer.
Na, lebih sanggup dengar mak membebel daripada tengok mak menangis. Nanti, Na nangis sekali.”
DUA MINGGU BERLALU.
Aqeed membaca surat perletakan jawatan itu. Semalam Ahmad Syazrul mengundur diri dari
syarikat. Bukan itu sahaja, dia bawa
sekali ayah dan ibunya keluar dari rumah dato’ Hazreeq. Mereka pun meletak jawatan. Dah lama Ahmad Syazrul berhajat keluar dari
rumah itu. Dah tiba masa ayah dan ibunya
berehat. Dia sendiripun dah 30 tahun.
Dia tak mahu lagi membiarkan orang tuanya berkhidmat dengan keluarga itu. Tiba masa mereka berehat sahaja di kampung
halaman mereka.
“Awak pun nak berhenti juga?” Tanya Aqeed.
Aleesha angguk. Cubit peha kiri,
peha kanan pun rasa sakit. Apabila orang
kesayangannya disakiti oleh orang dia hormati, dia memilih untuk mengundurkan
diri.
“Aleesha, saya tahu awak marah pasal Areeana…”
“Saya kenal Areeana tu dari umur 6 tahun. Bukan sehari dua.” Pintas Aleesha.
“Saya tengok susah payah hidup dia. Saya nampak betapa ‘struggle’nya dia nak
dapat kasih sayang mak dia sendiri. Saya
nampak usaha dia yang tak pernah kenal erti putus asa. Dan saya nampak dia sebagai mangsa ego
manusia. Dah dua minggu kan? Selepas dah dengar penjelasan pak Usup dan
nenek boss sendiri, boss tak terfikir ke yang boss patut cari mak kandung boss dan
minta maaf sebab membenci dia selama 28 tahun ni?” Tambah Aleesha. Aqeed terdiam.
“28 tahun Mak Ija difitnah.
28 tahun Mak Ija terpaksa berselindung dari mengaku dia mak kandung
Areeana. 28 tahun dato’ Hazreeq percaya
yang Mak Ija minta dibayar untuk diceraikan.
28 tahun boss percaya yang mak kandung boss jual boss pada nenek boss. 28 tahun boss. Sementara masih ada peluang ni, pergilah
minta maaf. Saya takut boss tak sempat
nanti.” Pesan terakhir Aleesha sebelum
melangkah keluar dari bilik. Tak sangka
pula dato’ Hazreeq ada berdiri di muka pintu.
“Areeana selalu cakap dengan saya. Dia pelik, kenapa keluarga ni selalu cakap
dia ‘nurse ajaib’. Sebab dia tak rasa
pun cara kerjanya berbeza dengan nurses yang lain. Sekarang saya baru tahu kenapa. Itu sebenarnya dejavu. Nak beritahu, yang Areeana itu sebenarnya
anak, adik, dan cucu dalam keluarga ni.”
Bicara yang terakhir sebelum dia meninggalkan dua lelaki ego itu.
Nenek Areeana pun datang minta maaf. Tapi dua lelaki ego ini, aku tak pasti mereka tunggu apa.
Pagi-pagi Ayra sampai rumah. Ketika itu Areeana sedang memasukkan beg pakaian dalam kereta. Perbuatannya terhenti. Keluar sahaja daripada kereta, Ayra terus meluru ke arah Areeana. Memeluknya.
"Kak Na tak marah Ayra kan? Ayra datang bawa nenek. Nenek nak jumpa mak akak."
Nenek mengaku silap dan kejahilannya. Tapi dua lelaki itu hanya termenung setiap hari. Aleesha rasa puas selepas membahasakan dua beranak itu. Semalam Ahmad Syazrul dah kena. Lambat sangat bertindak. Kalau dah suka tu, pergilah cepat. Kalau Areeana berubah fikiran, padan dengan muka tu.
“So, encik Syazrul kerja kat mana lepas ni?”
“Tak payah berencik-enciklah Sha. Saya bukan senior awak lagi.”
“Habis tu nak saya panggil apa?”
“Panggil jek nama.
Abang Mad ke?”
“Eh, mana boleh.
Itukan nama panggilan manja ‘nurse ajaib’ untuk encik.”
“Ish, awak ni!” Ahmad
Syazrul tersipu.
“Encik Syazrul. Dia
tu kawan baik saya tau. Cubit peha kiri,
peha kanan pun rasa sakit juga. So, saya
taknak encik Syazrul sakitkan hati dia.
Dia dah cukup disakiti selama ini.
Sekarang ni, kalau encik Syazrul betul-betul sukakan dia, make a
move.” Pesan berbaur amaran dari Aleesha
kepada Ahmad Syazrul. Dia tak nak
Areeana disakiti lagi.
Telefon bimbitnya berbunyi,
Mematikan ingatan tentang hal semalam. Tertera nama Mak Ija. Eh, tak pernah-pernah call aku! Ada apa-apa jadi kat Areeana ke? Cepat-cepat Aleesha jawab panggilan itu.
Selepas berbual seketika, mereka menamatkan perbualan. Aleesha mencari idea apa yang perlu dia
lakukan. Apa-apa hal pun kena ambil baby
dulu kat rumah pengasuh. Hari ini hari
terakhir baby dengan pengasuh. Dia
sendiripun dah letak jawatan. Nak jadi
free-lance designer. Buat kerja kat
rumah je.
AIR SUNGAI mengalir deras.
Indahnya suasana kampung. Melihat
kanak-kanak mandi manda bersuka ria, teringat kembali zaman kanak-kanaknya. Suka sangat cari mak marah kan. Balik sekolah, singgah sungai dulu. Bermain sudah pasti. Dah bawa baju siap-siap. Salin baju di balik pokok. Nama sahaja perempuan, tapi perangai kalah
kan anak jantan.
“Amboi! Jauh
termenung.” Satu suara menegur.
“Eh, Cha!” Areeana
terkejut melihat kehadiran kawan baiknya itu.
“Kau ni kan. Dah
sampai kampung lupa terus orang kat KL ni.” Marah Aleesha.
Marah-marah manja.
“Sibuklah. Kan kami
baru pindah rumah baru. Dok kemas-kemas
rumah hari-hari.” Alasan Areeana.
“Eleh mengemas konon. Yang kau duduk sini buat apa
pula? Mengimbau kenangan silam ke?”
“Hahaha! Lebih kurang
begitulah.” Areeana ketawa.
“Kau ingat tak masa kita form 1. Balik sekolah mesti singgah mandi
sungai. Kadang-kadang tu ponteng
mengaji, pergi sungai juga. Last-last
kantoi. Abang Din tulah. Kepoh
sungguh. Dia pergi bagitau bapa aku.” Aleesha membangkit kenangan silam.
“Bukan kau je kena.
Dengan aku sekali kena bantai.
Tapi, tak serik. Esok lusa buat
lagi.” tambah Areeana. Dan mereka tergelak.
“Tapi, kalau kau ingat balik. Semua kerja-kerja jahat kita. Nakal
kita. Degil kita. Akulah kepalanya. Kau pulak main ikut
jek.” Ungkit Areeana.
“Memang pun. Tapi kau
juga yang ajak kita berubah. Lepas kena
bantai separuh mati tu.”
“Yelah. Lepas dia
bantai aku tu, malam tu aku dengar mak aku menangis tau. Dia macam menyesal sangat. Dia siap luahkan perasaan kat gambar ayah dan
ibu. Terus aku nekad nak belajar bersungguh-sungguh.” Memori lama singgah dalam perbualan mereka.
“Dua hari lepas mak kau call aku tau. Dia mengadu kat aku. Kau asyik termenung jek. Macam rindukan seseorang atau sesuatu. Kau rindukan kerja kau atau kau rindukan
abang Mad?”
“Ish, mana ada! Takde
apalah. Kan aku cakap busy kemas rumah
baru. Penatlah tu.”
“So kau langsung tak rindu abang Mad ke?” Aleesha tersenyum mengusik. Areeana mencebik.
“Dah jom balik rumah kau.
Aku tinggal baby kat mak kau tu.
Buatnya dia meragam kan, kelam kabut orang tua tu kang. Yang ada tu mak Ikin dengan pak Usup.”
“Mak Ikin dan Pak Usup?
Diaorang pun ada kat sini?”
“Nak jumpa mak kaulah.
Pak Usup nak minta maaf. Yelah,
dulu diapun bekerja. Tak berani nak
melawan. Selain daripada itu, mak dan
ayah mertua kau tupun ada tujuan lain tau.”
“Hei!” marah
Areeana. Aleesha ketawa.
“Ada pesakit nak jumpa ‘nurse ajaib’ dia. Dah angau kata maknya. Dah kau jangan nak jual mahal sangat
yer. Jom balik cepat. Abang Mad kau dah tunggu kat pondok bawah
pokok depan rumah kau tu.” Aleesha
menarik tangan Areeana. Dan mengajaknya berlari pergi dari situ.
DUA BULAN KEMUDIAN.
Pelamin dah siap.
Buat majlis kecil sahaja.
Cukuplah sekadar menjemput orang-orang kampung dan saudara mara. Mak Ija dah bersedia untuk tidur. Areeana masuk ke bilik emaknya. Hmm tau sangat. Mesti nak tidur bersama. Sejak kebelakangan ni asyik nak tidur
berpeluk sahaja. lagi-lagi bila dah
dekat tarikh nikah ni. Manjanya luar biasa.
“Berkepitlah selagi boleh berkepit. Esok dah tak berkepit lagilah dengan
mak. Dah dapat bantal peluk baru
kan?” usik Mak Ija.
“Malam ni last lah dapat tidur dengan mak.” Sambung emaknya.
“Eh, kenapa pulak?”
“Hmmm, buat-buat tak tahu pulak. Esok berpeluk dengan suami awaklah
pulak.” Balas Mak Ija.
“Tak kira, nak peluk jugak.”
Rengek manja. Mereka ketawa. Baring bersama-sama.
“Mak, Na sayang mak.
Walaupun Na dah kahwin nanti, Na akan tetap jaga mak.” Luah Areeana.
“Mak pun sayang Na.
Mak minta maaf Na atas segala salah mak.”
“Ish mak ni. Kan Na
dah cakap, mak tak pernah ada dosa dengan Na.
Dosamu kuanggapkan debu bagai diterbang angin yang lalu.”
“Macam bunyi lirik lagu je.”
“Eh, mak tahu?”
“Kalau hari-hari menyanyi lagu tu, mak pun dah hafal lagu
tu.”
“Hai, nyanyi suara perlahan pun mak boleh dengar yer. Tajam betul telinga mak ni.”
Mereka ketawa lagi.
Malam terasa amat panjang hari ni.
Banyak perkara yang mereka imbau kembali. Tiada seorang pun dari mereka yang cuba
mencari salah antara satu sama lain.
Hanya meluah rasa kesal atas kesilapan lalu. Mak Ija rindu pada sahabatnya, Fazlina. Pada suaminya, Faizal. Dua insan yang sangat berjasa padanya dan
juga anaknya Areeana. Mak Ija teringin dipeluk
anaknya Aqeed Mazreeq. Namun anak itu
langsung tak datang menjenguknya. Dan
tiada langsung khabar dari mereka.
Sempat Mak Ija berpesan pada Ahmad Syazrul, maklumkan pada mereka
tentang majlis ini. Manalah tau
kalau-kalau Hazreeq nak datang mewalikan anak perempuannya.
“Na, betul ke Na tak marahkan mak.”
“Betul mak. Na
sayangkan mak.” Jawab Areeana.
“Kalau Na boleh maafkan mak, mesti Na boleh maafkan papa,
nenek dan abang Aqeed kan?” soalan dari emaknya tidak terus dijawab. Areeana memandang wajah emaknya. Dia memegang pipi insan sudah semakin dimamah
usia itu. Melihat gambaran penderitaan
yang ditanggung selama ini. Sebab
itulah, emak taknak pindah KL sebelum ini.
Banyak kenangan pahit dia di bandaraya itu.
“Mak minta maaf tau sebab lambat beritahu Na hal
sebenar. Na lah, lambat sangat nak
kahwin. Mak ingat nak beritahu Na, bila
Na beritahu nak kahwin.” Ungkit Mak Ija.
Ketawa kecil.
“Oooh, patutlah selalu sangat tanya Na bila nak kahwin.”
Bangkit Areeana. Mereka ketawa lagi.
“Ingat pesan mak tau.
Kalau esok, papa, nenek dan abang Aqeed datang, sambut mereka dengan
baik. Ye sayang.” Pesan Mak Ija sambal memegang lembut pipi
anaknya. Terukir senyuman di bibir anak
gadisnya itu. Dah sampai masanya sayang,
emak lepaskan kau. Semoga suami Na dapat
jaga Na dengan baik. Yang pasti jauh
lebih baik dari mak.
AZAN SUBUH berkumandang.
Dua beranak itu solat subuh berjemaah.
Lepas solat, Mak Ija akan mengaji.
Areeana akan turun ke dapur menjerang air. Biasanya pagi-pagi macam ni kopi o panas
menjadi pilihan dua beranak itu. Pagi ini
ramai tetamu. Ada yang mengusik bakal
pengantin turun ke dapur. Aleesha yang membebelkan Areeana menggantikan Mak
Ija. Katanya Areeana sepatutnya segera
bersedia. Pukul 9 mak andam sampai. Pukul 11 nak nikah. Dua jam je masa nak bersolek. Katanya pihak lelaki dah kalut bersiap. Keluarga pihak lelaki tumpang bermalam di
rumah keluarga Aleesha. Sebab itulah Aleesha bermalam di rumah pengantin.
Jam 8:00 pagi Areeana masih di dapur. Mak Ija tak turun lagi. Aleesha dah bising suruh Areeana ke bilik
pengantin. Ada sebuah kereta
datang. Aleesha menjengah. Memandang Areeana. Mak dah pesan. Kalau mereka datang, sambut dengan baik. Areeana masuk ke bilik emaknya. Eh, mak ni.
Tak pernah-pernah tertidur lepas mengaji. Dalam keadaan
masih bertelekung, Mak Ija berbaring mengiring atas sejadah sambal memeluk
Al Quran. Areeana dengan perlahan
mengambil al-quran dari pelukan emaknya.
Tangannya terkulai ke lantai.
“Mak! Mak! Mak, bangun mak! Cha!” jeritan Areeana mengejutkan seisi
rumah. Aleesha berlari ke bilik Mak Ija
sebaik mendengar namanya diseru.
“Cha! Mak aku
Cha! Mak aku!” Areeana menangis. Aleesha memeluk erat Areeana.
“Mak aku dah takde Cha.
Mak aku dah takde.” Areeana menangis
dalam pelukan Aleesha.
“Mak. Maafkan Aqeed mak.” Aqeed meluru masuk. Memeluk tubuh yang sudah terbujur kaku di
situ. Mak, hasrat mak dah tercapai
mak. Dia dah datang peluk mak. Dia dah cium mak. Dia dah minta maaf dengan mak. Tapi, sayang dia datang setelah mak pergi tak
kembali.
SETIAP INSAN pasti
merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa
Majlis pernikahan berubah menjadi majlis tahlil. Tangisan tak berhenti membasahi pipi. Mak, Na reda mak. Mak rehatlah dengan tenang. Na dah takde sesiapa lagi. Na cuma ada mak. Na akan teruskan hidup dan akan bawa nama mak
setiap hari dalam doa Na.
Selesai talkin dibaca, seorang demi seorang berlalu
meninggalkan tanah perkuburan. Areeana masih
di situ. Dia duduk bersimpuh
bersebelahan Aleesha. Aleesha setia
menemani sahabatnya. Dia turut bersedih
atas kehilangan insan kesayangan Areeana yang sepatutnya menjadi hari
bahagianya. Aqeed duduk di sebelah Areeana. Menangis kesedihan. Kenapalah masa aku ada peluang, aku tak
datang? Itulah yang Aqeed kesalkan. Hakikatnya dia sangat malu untuk berdepan dengan
ibunya. Mama dah nasihatkan banyak kali,
tapi aku yang taknak dengar. ‘Selagi kita ada peluang untuk berbakti untuk
orang tua kita, ambillah peluang tu. Bila
mereka dah takda, hanya doa sahaja yang dapat kita hadiahkan.”
AHMAD SYAZRUL : Abang
Mad akan tetap tunggu Na. Abang Mad tunggu
sampai betul-betul Na dah bersedia.
AREEANA : Terima
kasih abang Mad. Na takkan mungkir
janji. Na cuma perlukan masa untuk bertenang. Na dah takder mak. Na tak tahu buat apa.
AHMAD SYAZRUL: Na,
jangan cakap macam tu. Ramai yang akan
ada untuk Na. Kalau takde orang lain, Abang
Mad ada. Abang Mad akan sentiasa ada
untuk Na. Na kan penting dalam hidup abang.
Areeana Sofea, awaklah ‘nurse ajaib’
saya. Jururawat yang merawat hati semua
orang dengan hanya satu senyuman. Dan awaklah
jururawat yang akan merawat hati abang Mad selamanya.
Nurse Ajaib
TAMAT
Comments
Post a Comment